Campak Dia Balik! Suri Rumah Tidak Mengaku Campak Anak Kucing Dari Tingkat Satu
TERKINISeorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan mencampak anak kucing dari tingkat satu sebuah flat di Cheras, sehingga menyebabkan haiwan itu mati, bulan lalu.
Nina Norhaslinda Mazlan, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan sehingga menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap haiwan itu, di koridor tingkat satu, hadapan sebuah rumah di Flat Sri Sabah, Cheras, di sini pada jam 7.35 pagi, 25 Disember tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum di bawah seksyen 29(1) akta sama, yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Fadzilah Abdul Karim mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Ia berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sekali setiap bulan di balai polis berdekatan," katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu kadar itu dikurangkan kerana dia tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Norina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tanpa dikenakan syarat tambahan.
Mahkamah menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan kes dan lantikan peguam. -sinar