"Manusia Kejam!"- Kucing Mati Dijerut Dan Digantung Di Tingkap Rumah, Pihak Berkuasa 'Berpeluk Tubuh' Saja?

TERKINI
June 08, 2023 - 01:41 PM


Menyayat hati, jasad seekor kucing yang tidak bernyawa ditemui dalam keadaan tragis di sebuah kediaman di Persiaran Intan, Hulu Langat, Selangor.

Tidak berperikemanusiaan, leher binatang tidak bersalah itu dipercayai dijerut oleh dawai sebelum digantung pada bingkai tingkap.

Kejadian itu dikongsi oleh Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika menerusi laman Facebook miliknya.

Arie memaklumkan bahawa kejadian tragis itu hanya mula disedari oleh seorang penduduk pada pukul 10 pagi, Jumaat lalu.

Laporan polis segera dibuat, penduduk itu mengesyaki perlakuan keji tersebut dilakukan oleh salah seorang penghuni kediaman berkenaan.

Namun, yang mengeruhkan keadaan adalah tiada tindakan susulan dibuat oleh pihak berkuasa walaupun laporan telah dibuat secara rasmi.

Sehubungan dengan itu, Arie mewakili Animal Malaysia menggesa agar pihak polis segera menjalankan siasatan untuk mencari pelaku tersebut.

Arie juga menuntut agar pihak berkuasa tidak memandang rendah terhadap kes jenayah khususnya yang melibatkan haiwan.

“Menurut penduduk dan saksi, tiada sebarang tindakan susulan dibuat terhadap kes ini dan seperti sudah didiamkan.

“Animal Malaysia menuntut tindakan pantas bagi memastikan Sistem Keadilan Jenayah Haiwan Malaysia berjalan dengan baik.

“Jenayah haiwan adalah satu jenayah berat yang ada peruntukkan dalam undang-undang dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Destination: