[VIDEO] "Amboi Manjanya Dia, Nak Ikut Tarawih Ke Tu?" - Viral Kucing Comel Panjat Badan Imam

TERKINI
April 07, 2023 - 01:56 PM


Gelagat seekor kucing yang memanjat badan seorang lelaki berjaya menarik perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.

Menerusi rakaman yang dikongsikan di saluran Youtube berbahasa Arab itu, kejadian tersebut berlaku di Masjid Abu Bakr al-Siddiq, Algeria.

“Seekor kucing di Algeria memanjat imam semasa solat tarawih, Maha Suci Tuhan Yang Agung,” tulis kapsyen video yang tular itu.

Mengagumkan, lelaki yang sedang mengimamkan solat terawih itu tetap tenang menerima kehadiran binatang manja itu.

Ketika melantunkan ayat suci al-Quran, imam tersebut sempat memegang kucing berkenaan untuk menghalangnya daripada terjatuh.

Turut membelai haiwan itu, imam berkenaan kemudian meneruskan ibadahnya dan membiarkan sahaja kucing tersebut memanjat badannya.

Haiwan kesayangan Rasulullah itu kemudian memanjat bahu dan sempat melentokkan kepalanya ke arah muka imam seolah-olah mencium lelaki itu.

Turut dimuat naik di pelbagai media sosial lain seperti Twitter, rata-rata penonton meluahkan kekaguman mereka terhadap imam itu.

“Kucing nampak selesa. Tengok daripada pergerakan ekor, mesti imam dah selalu main dengan kucing tu,” komen seorang pengguna.

“Momen yang mengharukan. Nampak macam kucing tu cium pipi imam, mungkin menghargai bacaannya. MashaAllah.” Kongsi pengguna lain.

Destination: