Berang Anak Kena Kad Merah, Bapa Ambil Batang Besi Nak Pukul Pengadil

SUKAN
July 09, 2024 - 12:05 PM


Tindakan seorang lelaki yang membawa batang besi sebelum sempat ditahan oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas pada ketika itu telah menarik perhatian ramai. 

Difahamkan, lelaki tersebut bertindak sedemikian kerana berang dengan tindakan pengadil dalam satu perlawanan bola sepak di sebuah sekolah dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan. 

Menerusi video yang dimuatnaik oleh seorang pengguna X, dapat dilihat lelaki yang juga seorang bapa kepada salah seorang pemain bola itu kelihatan mengambil batang besi sebelum menuju ke padang. 

Tindakannya itu sempat ditahan oleh anggota RELA yang bertugas pada ketika sebelum batang besi yang dipegangnya dirampas. 

Walaupun anggota Rela itu berhasil menenangkan lelaki berkenaan, dia sekali lagi melakukan provokasi dan dilihat berlaku pertengkaran mulut antaranya dan salah seorang kakitangan pasukan bola yang berada di tepi padang.

Amarah ayah pemain itu bagaimanapun tidak berkesudahan apabila lelaki terbabit sekali lagi mengangkat besi pada penghujung video berkenaan sebelum anggota Rela terpaksa menenangkannya. 

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang menyatakan rasa tidak puas hati dan geram dengan tindakan lelaki terbabit yang dilihat terlalu mengikut emosi.

Malah, ada yang mengecam tindakan bapa berkenaan yang dilihat tidak mahu menerima kenyataan dan beranggapan sikapnya itu boleh menjejaskan imej sukan bola sepak tempatan. 

 

Sumber: X

Destination: