Lagi Kes Makan Biskut Beracun, Remaja 13 Tahun Nyaris Maut

TERKINI
July 15, 2024 - 12:27 PM


Jika sebelum ini kita dikejutkan dengan kematian dua beradik yang termakan keropok beracun beberapa hari lalu, satu lagi kes sama terjadi kepada seorang remaja lelaki di Kemaman, Terengganu apabila dia dilaporkan termakan biskut mengandungi racun dan nyaris maut. 

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, mangsa, Mohd Daynail Haikal Alias, 13, terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Bapa mangsa, Alias Saras, 57, mengesahkan kejadian menimpa anak keempat daripada lima beradik itu.

"Isteri saya, Roslina Ahmad, 52, ada menghubungi dan memaklumkan anak pengsan selepas termakan makanan beracun itu.

"Syukur anak saya semakin pulih... saya harap dia cepat sembuh dan dibenarkan keluar daripada hospital," katanya. 

Sebelum kejadian, mangsa bersama seorang kawannya masuk ke sebuah kebun pisang dan kelapa milik penduduk kampung untuk memancing yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya. 

Mangsa dikatakan telah makan sekeping biskut yang dipercayai dicampur racun untuk menghalau kera dan beruk yang digantung di atas sebatang kayu di kebun berkenaan. 

"Mungkin ketika melalui sebuah kebun pisang dan kelapa yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah, anak termakan makanan dicampur racun itu.

"Makanan itu mungkin tergantung di situ di atas sebatang kayu bagi tujuan menghalau kera dan monyet di kebun," katanya Alias.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 4 petang tadi. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. 

 

Sumber: Berita Harian

Destination: