Buli Siber Esha: Wanita Mengaku Salah & Bayar Denda RM100, Lelaki Minta Bicara

TERKINI
July 16, 2024 - 02:46 PM


Dua individu iaitu seorang wanita dan seorang lelaki didakwa di dua mahkamah hari ini berkait kematian seorang pempengaruh TikTok dikenali Rajeswary atau Esha yang ditemukan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa buli siber, 5 Julai lalu. 

Di Mahkamah Majistret, seorang pemilik sebuah rumah kebajikan didenda RM100 kerana mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok untuk membangkitkan kemarahan.

Pemilik rumah tersebut adalah seorang wainita, P Shalini, 35, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret M S Arunjothy.

Mengikut pertuduhan, wanita itu dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat melalui akaun TikTok alphaquinnsha dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di sebuah premis di Jalan Ipoh, di sini, pada 4.10 pagi, 1 Julai lalu. 

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang boleh dihukum denda maksimum RM100. 

Mengikut fakta kes, pengadu menemui satu akaun TikTok alphaquinnsha atas nama tertuduh memfitnah mangsa dan membuat beberapa ugutan untuk mencederakan mangsa dengan nada paling ganas.

Tertuduh juga membuat siaran langsung di TikToknya dan membuat ugutan serta ancaman kepada individu yang menentangnya, berikutan itu mangsa membuat laporan polis.

Sementara itu, di Mahkamah Seksyen, seorang pemandu lori didakwa atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi lucah serta mengaibkan ibu Esha di aplikasi TikTok. 

Tertuduh Sathiskumar Balakrishnan, 44, mengaku salah bagi pertuduhan pertama iaitu komunikasi lucah, namun tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu mendatangkan aib. 

Mengikut pertuduhan pertama, Sathiskumar didakwa melalui aplikasi TikTok secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. 

Hukuman bagi pertuduhan pertama itu didakwa mengikut seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak lebih RM 50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua, Sathiskumar didakwa melalui aplikasi sama, telah menggunakan perkataan dengan maksud hendak mengaibkan dan menganggu kesantunan ibu kepada Esha iaitu Puspa P.Rajagopal, 56, yang didakwa mengikut Seksyen 509 kanun keseksaan dan boleh dihukum dibawah seksyen yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum sampai lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. 

Hakim Siti Aminah Ghazali kemudian menetapkan 16 Ogos ini bagi sebutan semula kes berikutan tertuduh memaklumkan kepada mahkamah dia memerlukan peguam bagi prosiding seterusnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu. 

Sebelum ini, Esha berusia 30 tahun itu ditemui meninggal dunia, sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari sebelum ini mengesahkan seramai 11 saksi termasuk ahli keluarga mangsa selesai dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan polis dalam kes tersebut. 

 

Sumber: Kosmo & Harian Metro

Destination: