Kantoi Mengendap Penyewa Malaysia, Warga Singapura Dipenjara 10 Bulan
TERKINISeorang pemilik rumah di Singapura sanggup memasang lapan kamera tersembunyi di sekitar rumahnya untuk mengintip penyewa wanita dari Malaysia.
Berdasarkan laporan The Straits Times, kamera ini ditempatkan secara strategik dan tersembunyi. Kamera ditemukan di dalam tandas, ruang tamu, dan bilik tidur penyewa.
Poon Lee Daniel, seorang lelaki berusia 68 tahun, telah dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan setelah mengaku bersalah.
Penyewa, seorang wanita Malaysia berusia 29 tahun, mula menyewa flat tersebut pada Januari 2019. Pada awalnya, dia sering pulang ke Malaysia pada hujung minggu, tetapi mula tinggal lebih kerap di Singapura akibat sekatan perjalanan semasa pandemik Covid-19.
Kejadian ini terbongkar pada April 2021 apabila penyewa tersebut menemui lubang mencurigakan di bawah saluran penghawa dingin di biliknya.
Setelah menyiasat lebih lanjut, dia mendapati lubang tersebut adalah kamera tersembunyi dan segera melaporkannya kepada teman lelaki dan sepupunya, yang kemudian menghubungi pihak polis.
Poon difahamkan sering masuk ke bilik penyewa dengan alasan mahu melakukan kerja-kerja rumah seperti menukar lampu atau bersihkan bilik.
Polis menemui empat video dan 224 imej di komputer Poon, dengan 49 daripadanya adalah imej yang menunjukkan penyewa tersebut sedang menukar pakaian dan mandi.