Lelaki Tunggang Motosikal Sambil Acu Pistol Ditahan Polis

TERKINI
July 19, 2024 - 11:30 AM


Tindakan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan secara tiba-tiba mengacu sepucuk pistol tiruan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Bukit Besar dekat Kuala Terengganu membawa padah apabila dia ditahan polis. 

Suspek berusia 26 tahun yang juga pembantu kedai makan berasal dari Ranau, Sabah itu ditahan ketika serbuan dilakukan di Jalan Sultan Mahmud, Kampung Ladang Sehat sekitar jam 1.30 tengah hari semalam. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya bertindak hasil maklumat orang ramai yang dikongsikan menerusi media sosial. 

"Tindakan lelaki berusia 26 tahun tersebut dipercayai bagi mengarahkan kenderaan lain yang berada di laluan bertentangan berhenti bagi membolehkan dia memecut laju motosikalnya ke arah Kampung Dusun Melintang.

"Sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bertindak mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di lokasi berkenaan. 

"Susulan penahanan suspek, pihak polis telah merampas sepucuk pistol disyaki tiruan warna hitam bercetak tulisan 'De In Israel'.

"Selain itu, turut dirampas sehelai seluar jeans warna biru, sehelai jaket warna hitam, sebuah motosikal jenis Honda C70 serta satu anak kunci. 

"Polis turut merampas topi keledar serta visor warna hitam," katanya. 

Jelas Azli, hasil soal siasatan awal, suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut selain mendakwa memperolehi senjata api tiruan tersebut dari sebuah tong sampah berhampiran Bulatan Ladang.

Ujian saringan urin juga dijalankan ke atas suspek dan hasilnya suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata api 1960. 

Sebelum ini, tular video yang menunjukkan suspek mengacu sepucuk pistol tiruan di persimpangan lampu isyarat sehingga mengundang kegusaran orang awam. 

 

Sumber: Sinar Harian

Destination: