Aaron Chia-Soh Wooi Yi Tewaskan Beregu No 2 Dunia Untuk Hadiahkan Gangsa Pertama Negara

SUKAN
August 05, 2024 - 07:52 AM


Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik 2024 akhirnya menyumbang pingat pertama hari ini.

Sumbangan pingat itu datangnya dari beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan pasangan dari Denmark, Anders Skaarup Rasmussen-Kim Astrup 16-21, 22-20, 21-19 pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, sebentar tadi.

Sekaligus pasangan negara itu berjaya mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi mereka di Tokyo.

Keputusan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik melebarkan rekod kepada lapan kemenangan ke atas gandingan Denmark itu dalam 12 pertemuan secara keseluruhan.

Set pertama menyaksikan pasangan Denmark itu mendahului 11-8 dan selepas interval, pasangan negara cuba mengejar dan berjaya mengejar sehingga 16-18 sebelum Astrup-Rasmussen menoktahkan set pertama dengan keputusan 21-16 dalam tempoh 21 minit.

Set kedua berlangsung rancak dengan kedua-dua pasangan saling bertukar mata dan pasangan negara akhirnya mendahului 11-9 menuju ke interval namun Astrup-Rasmussen berjaya menghambat pasangan negara untuk menyamakan kedudukan kepada 13-13.

Situasi itu tampaknya memberi tekanan kepada Aaron-Wooi Yik dan Astrup-Rasmussen berjaya mendahului 18-15 sebelum pasangan negara yang ketinggalan 16-20 memperagakan kebangkitan menakjubkan untuk memenangi set kedua dengan 22-20.

Set ketiga berlangsung dengan sengit khususnya di penghujung permainan apabila pasangan negara membenarkan gandingan Denmark itu mengejar sehingga 19-19 namun Aaron-Wooi Yik kekal tenang untuk meraih pingat gangsa dengan keputusan 21-19.

Terdahulu, kedua-dua gandingan itu gagal melayakkan diri ke final selepas kecundang di tangan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir di mana Aaron-Wooi Yik tumbang di tangan gandingan nombor satu dunia, Liang Weikeng-Wang Chang 19-21, 21-15, 17-21.

Astrup-Rasmussen pula tewas di tangan juara bertahan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin 21-18, 17-21, 10-21.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik memenangi pingat gangsa di Tokyo 2020 selepas menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14.