Polis Buru Empat Suspek Cubaan Samun di Stesen Minyak Lebuhraya KESAS
TERKINIPolis sedang mengesan empat lelaki yang disyaki menyerang sebuah kenderaan berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) arah ke USJ dekat sini dalam satu cubaan samun, awal pagi tadi.
Kejadian pkul 1 pagi tadi di petron highway kesas. Mak mertua dan kakak ipar sekeluarga hampir2 nak kena samun. Suspek bersenjatakan parang dan cota. Lebih kurg 4 org suspek yang terlibat. Sorg bermotosikal dan lg tiga orang menaiki kereta. No plat kereta dan motosikal tak nmpk. pic.twitter.com/vqBzZnl2Rj
— NAFAS (@nafasafiqah) August 7, 2024
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pada jam 1.37 pagi tadi.
Katanya, pengadu yang bekerja sebagai juruteknik, berusia 36 tahun mendakwa beliau hampir disamun empat lelaki tidak dikenali dengan bersenjatakan kayu.
"Dalam kejadian ini, seorang suspek yang menunggang motosikal telah menghalang dengan berhenti di hadapan kenderaan jenis Toyota Estima yang dipandu pengadu.
"Suspek kemudiannya bertindak menghayunkan kayu ke arah cermin pada sisi kiri kenderaan pengadu sehingga pecah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, siasatan mendapati tiga lagi suspek dalam kejadian itu dipercayai menaiki sebuah kereta.
"Kita sedang menjalankan siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dilakukan.
"Pada masa sama, kita mohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan," katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Katanya, maklumat berkaitan itu boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat kes, InspektorLiew Wai Leong di talian 014-6884167 atau mana-mana balai polis berhampiran.