Amaran Hujan Lebat, Ribut Petir di 10 Negeri Termasuk Kelantan Dan Sabah

TERKINI
August 20, 2024 - 07:29 PM


Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di 10 negeri sehingga jam 9 malam ini.

Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan, amaran tersebut melibatkan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Perak (Hulu Perak, Batang Padang dan Muallim), Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman), Kelantan (Tumpat, Kota Bharu, Jeli, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin).

Ribut petir dan hujan lebat turut dijangka berlaku di Selangor (Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Seremban) dan Johor (Mersing, Pontian, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Selain itu, Sarawak di kawasan Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu, Mukah (Matu dan Dalat) dan Limbang (Lawas); Sabah di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu) dan Sandakan (Tongod) serta Wilayah Persekutuan Labuan turut menerima amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang.

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu keluaran," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Orang ramai boleh merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia atau memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.