Kes Polis Langgar Pelajar Sampai Mati: Tiada Alasan Luar Biasa, Permohonan Ikat Jamin Ditolak
TERKINIMahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis menolak permohonan jaminan seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh seorang pelajar sekolah dengan melanggar motosikal ditunggang remaja itu, Disember tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet ketika membuat keputusan berkata, tiada alasan luar biasa untuk membenarkan permohonan jaminan itu.
Mohd Nazri Abdul Razak, 45, pegawai berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP) didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, antara jam 12.05 tengah hari hingga jam 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.