Soho Pantai Timur Hidangkan Masakan Terbaik Dari Kelantan!!!

FOODIE
November 15, 2017 - 11:39 AM


NEGERI Cik Siti Wan Kembang sememangnya terkenal dengan hidangan tradisi yang amat menyelerakan.

Bermula dengan kuih-muih yang kebanyakannya manis belaka seperti senyuman 'mek Kelate', sehinggalah ke hidangan berat seperti nasi kerabu dan ayam percik putih yang membangkit selera.

Pendek kata, siapa yang berasal dari Kelantan memang cukup bertuah kerana berpeluang menikmati aneka sajian yang lazat.

Restoran ini terletak di Seksyen 7, Shah Alam.

Boleh tahan juga penangan restoran Soho Pantai Timur ini. Mana tidaknya, baru dua bulan beroperasi pekerjanya sudah tak menang tangan layan pelanggan.

 

Harga bagi sepinggan nasi kerabu ayam dara ini bernilai RM7.50.

 

Hidangan pertama adalah nasi kerabu berlaukkan ayam dara goreng. Rasa sambal yang pedas dilengkapi ulam 'bertimbun' membuatkan pelanggan terus jatuh cinta.

Tambah sedap lagi apabila dipadankan dengan lauk ayam dara yang isinya sangat empuk dan garing. Rasa ayamnya pun segar, memang rugi siapa tak cuba!

Beralih pula pada laksam, kuahnya yang berlemak, pekat dengan isi ikan  dan rasa pedas memang kena dengan selera orang pantai timur.

Macam mana agaknya kuah laksam ini disediakan sebab ia langsung tak berbau hanyir.

Kuahnya tidak terlalu pekat, dan tidak pula terlalu cair. Sedang-sedang orang kata!

 

Harga bagi sepinggan laksam pula cuma RM5.

 

Macam tak puas makan laksam di sini, Jadi kami pun pesan lagi dua bungkus untuk dimakan di rumah nanti.

Seterusnya beralih pula kepada menu kerabu maggie. Bagi sesiapa yang tidak tahan pedas, jangan berani untuk cuba kerana rasanya sangat pedas.

Bukan sahaja pedas, kerabu maggie di Soho Pantai Timur ini juga sangat masam dan boleh buat bibir bengkak.

Mana tidaknya, mi maggie dan perencahnya diimport khas dari Thailand. Patutlah ada pengaruh Siam pada masakan kerabu maggie ini.

 

Harga bagi sepinggan kerabu maggie adalah RM6.50 dan ia tahan lama kerana mi maggie yang digunakan tidak mudah kembang.

 

Soal harga pula, ia ditawarkan pada harga mesra pelajar memandangkan kedudukannya yang berdekatan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pengurus cawangan restoran ini, Darwin Yahya Ismail berkata, menu pantai timur hanya disediakan pada pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

Katanya, nama Soho Pantai Timur diambil daripada dialek Kelantan yang bermaksud tersohor di pantai timur.

Sementara itu, menu tengah hari pula menyajikan konsep nasi campur yang bertepatan dengan selera masakan ala kampung.

 

pulut mangga

 

Alamat: 
Jalan Plumbum X 7/X 
Seksyen 7, 
40000 Shah Alam 
Selangor.

Waktu operasi: 
Setiap hari bermula pukul 11.30 pagi hingga 12 tengah malam (kecuali Jumaat bermula pukul 3 petang)


 

Destination: