Orang Malaysia di Australia Buang Pasport Untuk Jadi Pelarian Macam Bangladesh

TERKINI
July 03, 2019 - 01:59 PM


Putrajaya mengambil maklum terdapat orang-orang Malaysia yang mengaku pelarian daripada penindasan kaum dan agama supaya boleh menetap di Australia dan menikmati kemudahan dan peluang di negara itu.

Menurut tribunal penilaian keputusan kerajaan Australia, Administrative Appeals Tribunal (AAT), Timbalan Menteri Luar Negeri, Marzuki Yahya berkata ada juga orang Malaysia memberi alasan tekanan keluarga, LGBT, dan penderaan domestik dalam rayuan mereka.

Beliau menjawab pertanyaan Ronald Kiandee (PH-Beluran) tentang faktor-faktor yang menyumbang kepada fenomena di mana lebih 50% rayuan permohonan status pelarian di Australia antara 2017-2018 adalah rakyat Malaysia.

“Mereka pergi ke Australia sebagai pelancong. Bila berada di Australia mereka macam rakyat Bangladesh yang datang ke Malaysia buang pasport dan kata mereka pelarian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Marzuki, bagi tempoh Julai 2018 hingga April 2019, sebanyak 4,973 pemohonan diterima AAT.

Beliau juga menafikan dakwaan kerajaan menindas rakyat Malaysia, “malah perlindungan hak asasi dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan”.

“Tindakan orang Malaysia yang memohon perlindungan atas dakwaan terdapat ancaman bahaya jika terus menetap di Malaysia dilihat sebagai alasan untuk terus dibenar menetap di negara tersebut,” katanya.

Marzuki berkata Wisma Putra dan imigresen akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia memantau permohonan visa pelarian oleh orang Malaysia, termasuk menapis alasan mereka. 

Sumber: FreeMalaysianToday