Pulau Pinang, untuk siapa yang belum tahu, merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO dan status ini diberikan atas sebab seni bina, penuh dengan adat budaya dan masyarakatnya. Tidak hairanlah jika ke sana, masih banyak bangunan-bangunan lama yang tidak dirobohkan dan masih ‘berjasa’ .
Salah satu tarikan di Pulau Pinang adalah Armenian Steet. Dengan adanya pelbagai lukisan mural, tidak hairan kenapa lokasi ini sering menjadi kunjungan pelancong. Baik untuk mengagumi karya-karya yang ada mahupun untuk ‘instagram feed’.
Salah satu karya yang terkenal dan menjadi perhatian semestinya daripada Ernest Zacharevic iaitu lukisan ‘Kanak-Kanak Atas Basikal’ yang sering sahaja muncul di dalam gambar-gambar pelancong yang ke Armenian Street.
Baru-baru ini, dalam satu posting di Instagram,Ernest telah meluahkan kekecewaan terhadap ekploitasi yang berlaku di kawasan Armenian Street dan ia ternyata ‘tak seperti dulu’.
Menurut Ernest lagi, walaupun kini jalan tersebut menjadi tumpuan pelancong dek kerana popularitinya, tetapi terdapat banyak pembangunan baharu yang berlaku disitu dan banyak kedai ‘hipster’ yang didirikan.
Kekesalan muncul kerana menurutnya, mural miliknya itu seakan-akan ‘menganggu’ tempat tersebut yang dahulunya tenang dan pernah berkira-kira untuk memadam semula muralnya dan menamatkan kedatangan pelancong yang terlalu ramai.
Tambah Ernest, disebabkan kawasan tersebut menjadi terlalu terkenal, pelancong-pelancong seakan-akan lupa tujuan sebenar mereka iaitu mendalami dan merasai pengalaman di Pulau Pinang yang sebenarnya mempunyai pelbagai lagi tarikan yang menarik untuk diterokai.
Pada Ernest, beliau mengharapkan supaya Armenian Street tidak diusik atau berkemungkinan hilang nilai budaya dan lebih teruk, status di UNESCO. Iya, jika hilang nilai budaya, tidak mustahil status Tapak Warisan Dunia juga akan terlucut.