Bukan Saja Jernih Bak Cermin, Air Tasiknya Juga Unik Ada 2 Rasa

TRAVEL
July 11, 2019 - 04:20 PM


Korang jangan salah sangka pula ingatkan Labuan Cermin ni Labuan yang dekat Sabah tu. Bukan ya!

Tasik Labuan Cermin ini sebenarnya terletak berhampiran Kampung Biduk-Biduk, di daerah Berau, Kalimantan Timur, Indonesia.

Untuk ke sini, korang kena mendarat dahulu di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Aji Muhammad Sulaiman Sepinggan, Balikpapan sebelum menyambung penerbangan menggunakan pesawat domestik ke Lapangan Terbang Kalimarau (BEJ) di Tanjung Redeb.

Dari airport korang kena naik kereta dalam 30 minit menuju ke Pelabuhan Tanjung Redeb dan lepas tu ambil bot untuk ke Kampung Biduk-Biduk yang akan memakan masa 3 jam.

Guna bot lebih cepat berbanding kalau naik kereta atau bas sebab tempoh perjalanan boleh jadi lebih lama dari 6 jam.

Setibanya di pelabuhan Kampung Biduk-Biduk, korang perlu menyewa sebuah lagi bot kecil yang boleh memuatkan antara 5-8 orang dengan harga 100,000 Rupiah (RM30) atau 20,000 Rupiah (RM6) seorang untuk masuk ke Tasik Labuan Cermin yang hanya mengambil masa 15 minit sahaja.

Sampai je di Labuan Cermin, mata korang pasti terpukau dengan keindahan air tasiknya yang jernih berwarna turquoise-kehijauan ibarat melihat biasan cahaya kristal dari sebuah cermin besar!

Suasananya yang tenang dan damai kerana dikelilingi gua dan hutan tebal memang mempesonakan sesiapa sahaja yang berkunjung ke situ.

Kalau korang bernasib baik, mungkin korang juga berpeluang untuk melihat Bekantan, iaitu sejenis monyet berhidung panjang dengan bulu berwarna coklat kemerahan melompat dari satu pokok ke pokok yang lain.

Pastinya dengan kecantikan alam yang luar biasa seperti itu, memang rugi kalau tak menggunakannya sebagai background untuk gambar Instagram atau Facebook korang. Memang cantik sangat!

Habis bergambar, korang dah boleh siap sedia untuk terjun ke dalam air atau snorkelling.

Bagi yang tak pandai berenang, korang jangan risau sebab di Labuan Cermin ada disediakan jaket keselamatan dan peralatan snorkelling untuk korang sewa.

Menariknya jika berenang di Tasik Labuan Cermin ini, korang akan rasa air tawar di bahagian permukaannya dan jika menyelam ke dalam sedikit korang boleh rasa pula air tasik yang masin seperti di lautan.

Keunikan air tasik 2 rasa ini juga membuatkan Labuan Cermin menjadi popular dan terkenal di kalangan pelancong tempatan dan luar Indonesia.

Waktu terbaik untuk ke tasik ini adalah antara pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Jom korang tak sabar nak pergi sini!!

 

Destination: