Pelancong Bertali Arus Daki Uluru, Sebelum Ia Ditutup Oktober Ini!

TERKINI
July 17, 2019 - 05:30 PM


Australia terkenal dengan sebuah destinasi pelancongan unik iaitu batu raksasa yang berwarna kemerah-merahan iaitu Ayers Rock atau disebut Uluru.

Gunung batu yang terletak di tengah-tengah Australia dan kira-kira 335 kilometer dari bandar Alice Springs turut menjadi lokasi kegemaran para pendaki dari seluruh dunia.

Namun sejak diumumkan bahawa Uluru bakal ditutup kepada aktiviti pendakian menjelang 26 Oktober ini, gunung batu tersebut semakin mendapat kunjungan yang 'luar biasa' daripada pelawat tempatan dan antarabangsa.

Malah trek pendakian sepanjang hampir 10 kilometer di gunung batu itu juga menyaksikan pengunjung terus bertali arus mengelilingi Uluru.

Ia bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang keemasan menikmati semua tarikan semulajadi berupa lukisan di batu, air terjun dan ceruk batu yang memiliki kisah dan sejarah uniknya tersendiri, sebelum lokasi itu ditutup secara rasmi dalam tempoh tiga bulan lagi.

Gara-gara kehadiran pengunjung yang terlalu ramai di destinasi ikonik Australia itu menyebabkan sebuah pusat peranginan dan resort berhampiran iaitu Yulara telah penuh ditempah pelancong, hingga ada yang memilih mendirikan perkhemahan haram di tepi jalan serta di Taman Negara Uluru-Kata Tjuta.

Pada 2017, Lembaga Pengarah Taman Negara Uluru-Kata Tjuta telah sepakat untuk menguatkuasakan larangan pendakian kepada pengunjung bagi menghormati adat kepercayaan Orang Asli Australia terhadap semangat gunung batu berkenaan.

Untuk rekod, dalam tempoh 12 bulan hingga Jun lepas, lebih 395,000 orang telah melawat Taman Negara tersebut iaitu peningkatan kira-kira 20 peratus daripada tahun sebelumnya.

Sumber: BBC