Hujung Januari 2021, Melaka Bakal Perkenal 'Bas Singgah-Singgah'

TERKINI
December 11, 2020 - 06:00 PM


Kerajaan Melaka akan memperkenalkan tarikan terbaharu iaitu 'Bas Singgah-Singgah' pada hujung Januari 2021, bagi merancakkan kembali sektor ekonomi pelancongan negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Melaka, Datuk Roslan Ahmad berkata produk pelancongan baharu itu merupakan hasil kerjasama antara anak syarikat kerajaan negeri Panorama Sdn Bhd dengan sebuah syarikat swasta yang beroperasi di Kuala Lumpur.

"Bas elektrik ini dijangka akan beroperasi bermula di Melaka Sentral dan melalui 9 atau 14 stesen meliputi kawasan pelancongan -- termasuk Zoo Melaka, Menara Taming Sari, Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di sekitar Banda Hilir sebelum ke Klebang.

"Tiket tidak perlu tunai kerana ia menggunakan kad tambah nilai antara RM20 dan RM30 yang boleh digunakan dalam tempoh masa tertentu dan sebagai permulaaan dua atau tiga unit 'Bas Singgah-Singgah' akan disediakan," katanya.

Beliau berkata 'Bas Singgah-Singgah' berkapasiti 40 penumpang yang berkonsepkan teknologi hijau itu menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya, turut menyediakan kemudahan wi-fi kepada pelancong selain mempunyai ruangan berhawa dingin dan terbuka.

"Jika sambutan pelancong terhadap produk baharu ini baik, kita bercadang akan memperbanyakkan lagi unitnya,” katanya menambah bas yang di peringkat akhir membuat dekorasi itu berkonsepkan santai dan selesa.

Sumber: BERNAMA

Destination: