Itinerary 4 Hari 3 Malam Ke Hat Yai Dan Songkhla, Thailand
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh World Atlas, Malaysia merupakan negara kedua terbanyak ‘menghantar’ pelancong ke Thailand selain promosi demi promosi yang dilakukan oleh kerajaan Thailand di sini serta kepelbagaian yang ada di negara yang mendapat jolokan gajah putih ini.
Daripada keindahan pantai, kehijauan alam sekitar, kebudayaan sehinggalah masakan, segalanya tentang Thailand membuatkan pelancong gemar untuk ke sana dan akan ke sana berulang kali.
Bila sebut pasal Thailand, nama-nama tempat yang akan menjadi pilihan semestinya Bangkok, Krabi, Phuket dan banyak lagi lah. Tapi hari ni, nak share iteneri 4 hari 3 malam ke Hatyai dan Songkhla. Kalau ikut geografi, Hatyai ni terletak dalam wilayah Songkhla. Ramai yang keliru sebenarnya (kami pun). Sebab ada sesetengah tempat menarik tu, kejap tulis Hatyai, kejap tulis Songkhla.
Hat Yai, ada yang eja sebagai Had Yai merupakan bandar terbesar di selatan Thailand dan memang dekat dengan sempadan negara kita. Pusat bandar Hatyai ni terletak 26 kilometer dari pusat bandar Songkhla. Kalau driving, kira-kira sejam perjalanan jugaklah.
Kalau nak diikutkan, populasi penduduk di Hatyai ada seramai 800 ribu dan terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Disini, majoriti menganut agama Buddha dan komuniti cina memang paling ramai. Tapi, kalau nak cari makanan halal senang sebab disini juga ada komuniti muslim dan melayu yang ramai. Ni boleh kata ‘geng-geng’ mek dengan awe kedai tomyam dekat sini lah.
Tips : Bawak wang tunai siap-siap, kemudahan ATM dekat Hatyai dan Songkhla ni kurang sikit. Ada di mall, tepi jalan pun haritu nampak ada dua atau tiga sahaja.
Itineri 4 hari 3 malam ke Hatyai/ Songkhla :
Untuk iteneri kitorang ni, disyorkan korang buat 2 hari di Songkhla, 2 hari di Hatyai. Kalau nak kurangkan, kurangkan hari di Songkhla, sebab kalau korang padatkan, sehari boleh settle Songkhla tu.
Day 1 :
Airport Hatyai – Songkhla
Macam disebut awal tadi, mula dengan Songkhla dahulu. Sebab di Hatyai lebih kepada shopping dan makanan. Susunan iteneri ringkas dia lebih kurang macam ini lah ye…
Kitorang stay di Haad Kaew Resort; tapi untuk korang, jangan ulangi kesilapan kitorang ni lah. Sebabnya, Haad Kaew ni terletak di ‘pulau’ berlainan dengan tempat-tempat tarikan. Jadi aku syorkan, korang cari penginapan sekitar Hadyai City atau kawasan Bo Yang, ada banyak dekat situ.
Tapi yang bestnya di Haad Kaew ni, walaupun jauh perjalanan ke kawasan tarikan ambil masa sejam, kita boleh dapat pengalaman naik feri untuk seberang tasik Songkhla. Kalau naik kenderaan, dia cas sekitar 20 Baht untuk satu kenderaan, 4 Baht untuk motor dan kalau jalan kaki, free! Oh, feri terakhir jam 11 malam ye untuk ke seberang.
Song Thale Park
Song Thale Park ni merupakan salah satu daripada taman rekreasi yang dibina untuk kegunaan orang ramai untuk beriadah. Kalau datang petang-petang, memang ramai orang akan buat macam-macam aktiviti riadah.
Salah satu tarikan di sini adalah ‘Nag’ sebuah binaan berbentuk kepada naga yang mengeluarkan air menghadap Tasik Songkhla. Nag sebenarnya adalah seekor ular (berkepala naga) yang dipercayai oleh penduduk tempatan mengeluarkan ‘air suci’ yang memberikan kebahagiaan, kesihatan dan juga kesuburan kepada Songkhla.
Nag sebenarnya terbahagi kepada 3 bahagian. Kepala (simbol kecerdikan dan kepandaian orang di bandar Songkhla), badan (yang melambangkan kekayaan) – bahagian badan ada di Chaloem Phrakiat dan bahagian ekor di Chalatat Road (melambangkan kekuatan dan karisma).
Samila Beach
Samila beach merupakan pantai yang agak popular di Songkhla. Walaupun popular, tidak digalakkan sangat untuk mandi di sini disebabkan ada ancaman obor-obor. Waktu kitorang disini, banyak papan tanda dan notis amaran diletakkan sekitar kawasan pantai.
Pantai Samila memang panjang dan waktu petang disini sangat meriah, tak lengkap kalau korang ke Samila kalau tak melawat ‘the Golden Mermaid’ - Sebuah patung ikan duyung yang dipercayai membawa kekayaan kepada rakyat Songkhla.
Tips : Datang waktu petang, sekitar 4 atau 5 – dapat gambar yang sangat cantik. Mermaid + sunset. Cuma kena pandai-pandai lah ambil giliran. Ramai yang nak bergambar disini.
Khao Kao Seng
Khao Kao Seng terkenal sebagai perkampungan nelayan dan merupakan pantai yang sering dilawati di Songkhla, dan di sini ada sebuah batu yang dinamakan Hua Nai Raeng yang mempunyai nilai sejarah sendiri iaitu diceritakan gabenor bandar bersebelahan yang bernama Nai Raeng telah membunuh diri disini sebelum menanam keseluruhan hartanya yang bernilai 900 juta baht dibawah batu ini.
Disini juga dibina platform untuk korang berjalan-jalan dan banyak ‘spot’ untuk korang bergambar disini.
Tips : Sini banyak anjing, jadi kalau jalan tu, berhati-hatilah. Pandang bawah, takut terpijak tahi. Hehe. Untuk bergambar, korang turun ke kawasan pantai, panjat sikit batu tu. Gambar cantik waktu sunset.
Chalatat Beach
Chalatat Beach ni merupakan sebuah lagi pantai yang korang boleh lepak. Tapi, bagitahu awal-awal, kawasan ini adalah ‘party’ area. Memang berderet pub dan bar. Tapi, nak cari makan malam pun korang boleh ke sini. Sebabnya, selepas deretan bar tu ada makanan muslim halal. Cuma, kena ke sana sebelum jam 9.
Diorang akan tutup dan selepas tu, kawasan tersebut akan meriah dengan ‘party people’. Kalau nak layan muzik, lepak lah luar tepi pantai. Tak ada orang marah. Hehe.
Day 2 :
Lee Subsin Market Precint
Lee Subsin Market Precint ni antara salah satu kawasan ‘pasar’ yang ada di Songkhla. Kawasan ini, memang banyak kedai-kedai diluar dan didalam. Kena ingat satu, walaupun nama dia pasar, dia lebih kepada konsep kedai dekat sini.
Ada mall, ada kedai biasa jugak. Pandai tawar, dapatlah murah. Kalau ke sini, korang boleh cari banyak streetfood yang ada sekitar kawasan ni. Tapi kena hati-hati lah, cari yang dijual peniaga muslim.
Tips : Cari yang ada tulisan bismillah atau peniaga bertudung, ataupun tanya je… halal or not. Masalah disini, semua benda ditulis dalam bahasa Thai.
Songkhla Old Town
Bandar lama Songkhla ni merupakan salah satu tarikan yang korang kena datang disini. Dari segi binaan bangunan, dia seakan-akan kawasan Jonker Walk atau bangunan-bangunan lama deret Jalan TAR dekat KL tu.
Bangunan lama ini dijaga rapi dan dikekalkan bentuknya. Banyak peniaga masih menjalankan peniagaan disini.
Selain itu, ada beberapa Instagram spot dekat sini tau! Ada beberapa street art yang korang boleh jumpai sekitar sini.
Bo Yang Night Market
Sama konsepnya macam uptown di Kuala Lumpur, dekat sini banyak menjual pakaian dan aksesori pelbagai. Sebenarnya, ada banyak lagi kawasan yang berkonsepkan ‘market’ sekitar sini. Kena pandai cari atau tanya orang tempatan je.
Apa yang best dekat setiap market diorang ni, asal ada market, mesti ada tempat makan! Jadi, target aku masa sampai dekat sini adalah… makan! Sebab barang-barang dia, sebenarnya lebih kurang macam ada di KL, mungkin dari segi harga, murah sikit lah.
PILIHAN EDITOR
- 10 Tempat Menarik Di Songkhla, Thailand
- Trip Ke Hat Yai Dan Songkhla Thailand 4 Hari 3 Malam
- 7 Backpackers Hostel Terbaik Di Hatyai, Thailand
Day 3 : Hat Yai
Songkhla – Hatyai
Untuk hari ke 3, kitorang keluar dari Songkhla untuk ke Hatyai. Guna grab sekitar 200 THB (RM26). Ini anggaran dari kawasan Bo Yang tu ke floating market.
Khlong Hae Floating Market
Khlong Hae ni merupakan floating market yang popular sekitar Hatyai. Kalau ke sini, dinasihatkan datang hujung minggu. Jumaat sampai Ahad, ia dibuka pada 1 petang, sampai 9 malam.
Kenapa letak floating market dulu? Sebab lokasi dia tengah-tengah antara Songkhla dan Hatyai.
Tips : Floating market dibuka hujung minggu, Jumaat – Ahad – 1petang – 9 malam.
Santisuk Market
Salah satu kawasan beli belah yang ada di Hatyai adalah Santisuk market. Konsep dia sama, dengan market lain. Macam kawasan Chow Kit atau ala-ala Petaling Street. Dari segi barangan, boleh kata ianya gred AA mungkin lebih rendah. Yang pasti, bukan ori. Itu dari segi barangan lah, dekat sini ada jugak jual kekacang, buah-buah dan lain-lain.
Oh, streetfood memang meriah!
Kim Yong Market
Kalau korang pusing habis kawasan Kim Yong ni, memang penat! Tapi boleh dikatakan kawasan ni, barang dia ‘rare’ sikit dan boleh la cuci mata. Sebab mustahil untuk korang bawak balik. Maksud rare dekat sini, ada beberapa kedai yang jual alatan tangan yang kategori ‘senjata berbahaya’. Ada pedang, pisau dan macam-macam lagi.
Selain itu, dinasihatkan korang bertabah lah bila ke sini, sangat banyak barang untuk ‘menguatkan adik’ atau dalam bahasa lainnya ‘ubat kuat’. Tapi, lain pada tu, korang boleh cari baju, beg, seluar, jajan, kacang, buah-buah dan macam-macam lah dekat sini.
ASEAN Night Bazaar
Dalam banyak-banyak, boleh dikatakan ini yang ‘proper’ sikit, lebih luas, lebih selesa dan meriah. Masa ke sana bulan lepas, memang bersepah orang Malaysia dan semua boleh dikatakan tangan penuh dengan barang-barang macam baju, toto dan lain-lain.
Kalau ke sini, korang naik ke tingkat atas tau. Ada deretan kedai makan bahagian atas. Semua makanan menarik, harga pun murah kalau nak dibandingkan dekat tempat lain.
Day 4 :
Cable Car
Di Hatyai, ada satu lagi tarikan menarik iaitu kereta kabel. Terletak bersebelahan dengan lebuhraya Hatyai – Songkhla. Lebih tepat, di Hatyai Municipal Park.
Harga 300 Baht (RM40).
Kereta kabel sepanjang 500 meter ni letaknya di puncak Hat Yai Municipal Park, merupakan kereta kabel pertama seumpamanya di Thailand. Dekat puncak Municipal Park ni ada kuil dan korang boleh menikmati pemandangan Hatyai lah.
Tips : Hari minggu agak ramai, jadi kena tunggu lama. Kalau nak ke sini, susun masa elok-elok.
Airport – KL
Dari Hatyai Municipal Park, kita terus ke lapangan terbang Hatyai lah. Jarak lebih kurang, 20 kilometer. Masa perjalanan sekitar 48 minit dan mungkin lebih lama kalau sangkut jam. Nasihat kami, kalau nak keluar dari Hatyai, elakkan waktu puncak. Pukul 10 ke atas tu trafik dah lancar sikit.