Pertama Di Dunia, Pelancong Ditawar Menginap Di Pejabat Presiden Taiwan!

PANAS
August 20, 2019 - 01:02 PM


Pernah tak kalau melancong ke luar negara korang terfikir untuk bermalam di bangunan pentadbiran kerajaan negara berkenaan? Memang tak pernah dibuat orang, kan?

Tapi, lain pula ceritanya dengan Taiwan sebab baru-baru ini negara tersebut ada membuka sebuah tawaran yang sangat luar biasa kepada pelancong asing untuk merasai pengalaman 'rare' dengan bermalam di Pejabat Presiden Taiwan, Tsai Ing-Wen!

Menariknya tawaran bermalam di mercu tanda Taipei yang berusia 100 tahun adalah percuma!

Pelancong yang terpilih juga berpeluang menyaksikan upacara menaikkan bendera kebangsaan Taiwan, yang bermula seawal jam 5.30 pagi.

20 pelancong antarabangsa yang berusia 20 tahun ke atas boleh mencuba nasib dengan menghantar video kreatif mengenai Taiwan berdurasi 90 saat di tautan profil media sosial masing-masing, sebelum akhir bulan ini.

Setibanya pelancong yang terpilih di Taiwan nanti, mereka juga harus membuat video mengenai perjalanan ke Taiwan dalam tempoh 15 hari selepas menginap di Pejabat Presiden berkenaan.

​​Bangunan Pejabat Presiden Taiwan itu juga mengandungi 300 buah bilik dan pelancong bertuah dijangka bakal bermalam di sana menjelang Oktober ini.

Program melancong ke Pejabat Presiden Taiwan itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Ia dilaksanakan bertujuan untuk membuktikan kebebasan, demokrasi dan keterbukaan Taiwan, selepas China mengumumkan penggantungan permit perjalanan individu ke Taiwan di bawah langkah yang bakal memberi kesan kepada ekonomi negara tersebut.

P/S: Kalau ada antara korang yang berminat bolehlah cuba nasib, mana tau dapat merasa jadi 'Presiden Taiwan' untuk semalam...hehehe

Sumber: Channel News Asia

 

 

;