Wow! Ramai Terpukau & Teringin Solat Di Masjid Seakan Kapal Angkasa Alien Ini!

September 17, 2019 - 04:11 PM


Jika anda berkunjung ke Doha, Qatar, jangan lupa untuk singgah melawat sebuah masjid unik dengan rekaan futuristik moden dan bukannya seperti kebiasaan masjid lain yang mempunyai kubah.

Masjid ini dinamakan 'Education City Mosque' atau Masjid Kota Pendidikan yang dibina khas sebagai mercu tanda ikonik transformasi sistem pendidikan madrasah kepada sistem pengajian Islam yang lebih moden dan terkini.

Ia juga berfungsi sebagai tempat ibadah dan tempat menuntut ilmu pengetahuan di bawah satu bumbung yang sama.

Mengambil tempoh 3 tahun untuk dibina, masjid ini boleh memuatkan kapasiti 1,800 jemaah di dewan solat utamanya dan 1,000 orang lagi di halaman luar masjid.

Jika anda perhatikan masjid ini turut dihiasi dengan pembinaan dua buah menara setinggi 90 meter yang direka seakan-akan menunjukkan ke arah Kaabah di Mekah.

'Education City Mosque'  ini juga disokong oleh 5 tiang utama yang mewakili lima Rukun Islam, dengan masing-masing dihiasi dengan kaligrafi ayat-ayat Al-Quran yang sangat indah.

Hiasan dari luar masjid juga cukup memukau sesiapa yang memandangnya kerana dipenuhi dengan ayat-ayat Al-Quran yang seakan timbul, manakala seni bina dalamannya pula direka seakan seperti berada di dalam gua.

Menariknya, kawasan sekeliling masjid ini turut dilengkapi dengan seni bina lanskap yang cukup damai dan mempesonakan serta dijadikan ruangan bagi para pengunjung bersantai serta menonton pelbagai jenis hiburan berunsur keagamaan.

Seiiring dengan namanya 'Education City Mosque' dan dibina di kota Doha yang terkenal sebagai Bandar Pendidikan, pelbagai aktiviti seperti kursus, kelas, bengkel, festival dan penganjuran majlis turut diadakan di masjid tersebut.

Masjid Kota Pendidikan Doha ini benar-benar menyerupai contoh masjid di zaman Rasulullah yang bukan sahaja berperanan sebagai pusat ibadah, tetapi juga mesra dan terbuka untuk aktiviti orang ramai menimba ilmu dan juga beriadah bersama keluarga dan masyarakat lainnya.  

P/S: Tahun 2022 nanti, Qatar bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA, sekaligus menjadi negara Arab pertama yang menghoskan perlawanan bola sepak paling berprestij itu. Jadi kalau ada yang pergi saksikan perlawanan bola tu nanti, bolehlah singgah solat di Education City Mosque ni!

Destination: