Jom Ke Tamu Besar Kota Belud, 26 & 27 Oktober 2019!

September 18, 2019 - 11:59 AM


Jika anda mempunyai rancangan untuk berkunjung ke Sabah pada bulan depan, jangan lupa singgah ke Tamu Besar Kota Belud iaitu pasar tamu terbuka yang terbesar di Sabah!

Terletak kira-kira 70 kilometer dari Kota Kinabalu, acara tahunan Tamu Besar pada tahun ini dijangka diadakan pada 26 & 27 Oktober bermula pukul 6 pagi hingga 5 petang.

Setiap tahun, Tamu Besar telah berjaya menarik kunjungan lebih 10,000 pengunjung dari dalam dan luar daerah dengan pelbagai aktivitinya yang berwarna-warni, selain menjual pelbagai jenis makanan, seni dan kraf tempatan serta persembahan kebudayaan.

Berikut antara acara tumpuan yang boleh anda sertai di Tamu Besar Kota Belud :-

1. PASAR TAMU TERBESAR

Pemilik perniagaan kecil, petani dan usahawan rumah akan menubuhkan gerai masing-masing untuk mempamerkan serta menjual produk mereka yang terdiri daripada hasil laut segar, makanan buatan sendiri, kek dan kraftangan tradisional yang mereka usahakan sejak setahun lalu untuk menghasilkannya dan sangat berbaloi untuk anda beli sebagai cenderamata kepada yang tersayang.

Kalau ke sini, anda jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri keenakan juadah tradisional masyarakat Kota Belud yang tidak dapat ditemui di tempat lain seperti penjaram, penganan, sapit dan berati. Ada juga yang mengatakan bahawa tiada penjaram yang lebih sedap di Sabah yang boleh menandingi penjaram yang dijual di Tamu Besar Kota Belud ini!

Satu lagi hidangan wajib cuba di sini adalah pencuci mulut tempatan (ada yang menyebutnya Kek UFO kerana bentuknya seperti cakera) dengan tekstur yang kenyal serta paling terbaik dimakan bersama kopi panas. Kek UFO ini datang dalam 2 rasa, iaitu gula aren dan rempah pandan.

 

2. KOBOI BAJAU

Salah satu aktiviti yang paling mendapat perhatian ramai adalah pertunjukan koboi Bajau yang digelar "Cowboys of the East".

Dalam acara itu, lelaki-lelaki Bajau mempamerkan kemahiran dan kecekapan mereka menunggang kuda yang dihias berwarna-warni. Malah, koboi-koboi tempatan ini juga lengkap berpakaian tradisional iaitu kemeja berlengan panjang (badu sampit) dihiasi butang emas (betawi) dan sulaman berbentuk bunga (intiras), sambil memakai hiasan tanjak kepala (podong) serta kadang-kala membawa senjata seperti belati atau lembing perak yang dipanggil bujak.

Anda pasti terpukau dengan kehebatan koboi-koboi Bajau ini yang akan berarak, berlumba serta membuat beberapa pertunjukan aksi khas bersama kuda kesayangan mereka. Lebih menarik, ada juga koboi yang menyertai acara ini seawal usia 5 atau 6 tahun! Memang terbaiklah! 

 

3. LUMBA KERBAU

Selain acara lumba kuda, di Tamu Besar ni juga anda berpeluang menyaksikan perlumbaan satu lagi jenis haiwan iaitu kerbau!

Selalunya kita biasa nampak kerbau hanya berkubang di lumpur dan sawah, tetapi di "Racing Buffalo" ini anda bakal menonton ketangkasan haiwan dan kecekapan penduduk tempatan bersaing berlumba kerbau di padang balapan.

 

4. RATU SEREMPAK

Selain acara bersama golongan lelaki dan haiwan-haiwan, di Tamu Besar juga turut diadakan acara feminin melibatkan kaum wanita iaitu pertandingan ratu cantik yang disebut "Ratu Serempak".

Di acara ini wanita-wanita cantik Sabah akan memperagakan pakaian tradisional dan hiasan berwarna-warni untuk dinobatkan sebagai "Ratu" pada akhir pertandingan. 

Acara turut dimeriahkan dengan alunan muzik secara langsung oleh bakat-bakat yang terdiri daripada masyarakat Kota Belud sendiri. Memang seronok dan rugi kalau anda tak sertai Tamu Besar Kota Belud.

Kredit Gambar: Let's Go Holiday

 

Destination: