Bercuti Dalam Ladang Di UK Farm, Kluang, Johor
TRAVELJika bercuti ke Sabah, tentunya destinasi wajib pergi adalah Desa Cattle Dairy Farm yang terletak di kaki Gunung Kinabalu di Kundasang.
Ladang lembu tersebut sememangnya popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa hingga mendapat gelaran "New Zealand Malaysia".
Tapi, korang tahu tak sebenarnya di Semenanjung pun mempunyai sebuah destinasi percutian dalam ladang yang tak kurang hebatnya iaitu di Kluang, Johor yang diberi nama 'UK Farm Agro Resort'!
Pemandangan indah padang ragut menghijau umpama berada di ladang luar negara menjadikan destinasi ini semakin mendapat tempat di hati para pengunjung.
Lebih istimewa, pelbagai aktiviti ditawarkan untuk pelawat merasai sendiri kehidupan sebenar di ladang seluas 40 hektar itu, antaranya:-
- Memberi makan & menyusukan kambing
- Memberi makan kepada burung unta berjari dua, itik, ayam, rusa serta arnab
- Menunggang kuda & menaiki kereta kuda
- Mengejar dan menangkap kambing di padang ragut luas seperti di New Zealand
- Berjalan-jalan di Taman Bunga lavender
- Melawat Zoo Mini
- Melawat ladang buah-buahan termasuk buah markisa & durian
- Beli-belah produk tenusu asli seperti aiskrim, yogurt, syampu, sabun dan losen badan
Menariknya di UK Farm juga mereka turut menyediakan kemudahan chalet 19 bilik untuk pelawat berkeluarga dan blok asrama yang boleh memuatkan sehingga 250 orang, selain dilengkapi bilik seminar, dewan makan serta surau.
UK Farm sebenarnya diambil daripada pangkal nama pemiliknya iaitu Un Keng yang juga seorang pengusaha berjaya bidang penternakan kambing susu dan daging di Parit Yaani, Yong Peng, Johor.
Sejak beroperasi dari tahun 2010, UK Farm kini semakin mencipta nama sebagai pusat agro-pelancongan terkemuka Asia apabila saban tahun berjaya menarik ribuan pelancong dan pelajar dari Singapura, Jepun, Korea dan China.
Jika korang bercuti ke UK Farm ini, selain berpeluang bersiar-siar dengan pakej menaiki bas mini terdapat juga pakej lain termasuk menunggang kuda, menaiki kereta kuda, aktiviti mengejar dan menangkap kambing selain 'Night Tour' serta pakej bermalam yang boleh korang pilih.
Sesekali bercuti dalam ladang seperti di UK Farm ini pun best juga, kan? Ala-ala 'back to nature' gitu....
INFO
Alamat: Lot 8, Projek Pertanian Moden Kluang, KM13 Jalan Batu Pahat-Kluang, 86000 Kluang, Johor
Kemudahan: Restoran, kedai cenderamata, chalet dan asrama, kawasan BBQ, pentas terbuka dan tapak perkhemahan.
Sumber: Berita Harian