Itinerary 2 Hari 1 Malam Ke Baling Dan Kulim, Kedah

October 16, 2019 - 03:37 PM


Daerah Baling dan Kulim masing – masing mempunyai sejarah serta ceritanya yang tidak kurang menarik. Dua dearah yang terletak di selatan negeri Kedah ini ternyata mempunyai pelbagai tarikan dan banyak aktiviti menarik yang boleh diketengahkan untuk menarik lebih banyak pelancong dan pengunjung tempatan.

Minggu lalu, kami berkesempatan untuk ke dua daerah ini menaiki ETS dari Kuala Lumpur. Tambang ETS adalah RM65 dan kami turun di Stesyen Kereta Api Sungai Petani sebelum menaiki bas untuk ke Baling.

Sebagai daerah kedua terbesar di Kedah, Baling adalah berjiran dengan Thailand. Dari segi geografinya ia diliputi kawasan tanah pamah di tengah dan kawasan berbukit bukau di bahagian sempadan Thailand. Puncak tertinggi di Baling semestinya Gunung Baling yang mempunyai ketinggian 546 meter dari aras laut.

Sementara itu, terdapat lagi sebuah daerah yang tidak kurang uniknya bersebelahan dengan Baling iaitu Kulim. Dipercayai dibuka pada pertengahan abad ke-18 oleh 100 orang melayu yang berasal dari Pattani, nama Kulim ini diambil sempena nama pokok Kulim yang tumbuh banyak di merata tempat.

Seperti Baling, Kulim juga mempunyai puncak tertinggi dan dikatakan ianya puncak tertinggi di Kedah iaitu Gunung Bintang dengan ketinggian 1,862 meter dari aras laut.

Okaylah, cukup sampai situ kita kongsi cerita pasal Baling dan Kulim ni. Kita sembang pasal itinerary pulak. Minggu lepas, lebih tepat kami ke Baling dan Kulim sebenarnya. Dan memang kalau nak diikutkan, tak cukup dua hari disana. Patut lajak lagi sebab banyak sangat tempat menarik.

Ni nak share itenirary sikit :

2 Hari 1 Malam Ke Baling Dan Kulim Menggunakan ETS Dari Kuala Lumpur

Hari Pertama : Rabu – 9/10/2019

7.12 pagi : ETS dari KL Sentral Ke Sungai Petani

11:50 pagi : Tiba di Sungai Petani

Korang boleh pilih untuk makan dan minum dalam ETS sebabnya memang ada kafe dan sebagainya. ETS selesa, ada plug untuk korang cas phone dan sebagainya. Nasihat kami, bawak earphone. Kalau tempat duduk jauh, TV dalam ETS tu nampak kecik. Jadi leboh kepada layan phone sendiri ajelah.

Surau pun ada disediakan

1.30 petang : Tiba Di Ulu Lengong – Dusun Tok Wak Desa Sentosa (Makan Tengah Hari dan Aktiviti)

5 petang : Melawat Ladang Madu Kelulut  - minum petang ( dihidangkan Pek Nga, makanan tempatan) , perkena Kopi Madu Kelulut!

8 malam : Bermalam di Ulu Legong Hot Spring

9 malam : Mula berendam dalam kolam air panas.

Nota : Kolam air panas ulu legong ni dibuka 24 jam, bayaran masuk adalah RM 6 untuk dewasa (RM5 untuk orang Baling) RM 3 untuk kanak – kanak (RM 2 untuk orang Baling).

Malam kami bermalam di Ulu Legong Hot Spring. Ada penginapan yang disediakan disana. Boleh memilih dari 6 jenis bilik atau tapak perkhemahan.

Hari Kedua : Khamis – 10/10/2019

7 pagi – Check – out

7.30 pagi – Sarapan pagi di Ladang Kelulut Ulu Legong

8.00 pagi – Melawat Rumah Ndoi – sebuah tapak penginapan di dalam kawasan Ladang Kelulut.

9.00 pagi – Bergerak ke Kulim menuju ke Tree Top Sungai Sedim

Berjalan di Treetop Sungai Sedim. Terdapat 17 stesyen kesemuanya, jarak perjalanan adalah 952 meter dan mula diperkenalkan pada umum pada 2005. Bayaran masuk RM10.  

Nota : Bawak teropong kalau anda minat burung. Disini terdapat pelbagai species hidupan termasuklah burung, ular dan sebagainya.

11.00 pagi – Aktiviti Water Rafting

4.30 petang – Bergerak ke KTM Bukit Mertajam

11 malam – Tiba Di KL Sentral

Simple kan?

Cuma nak diingatkan trip ini adalah FAMtrip oleh Tourism Malaysia, dan kami terikat dengan jadual kami. Sebenarnya boleh lagi korang curik keluar atau melencong sedikit dari perjalanan kami ni. Misal contoh, aktiviti water rafting tu sebenarnya dalam 30 minit je lebih kurang. Cuma sebab kami ramai, ia makan masa yang lama.

 

Destination: