Nak Beli Tiket Penerbangan? Tanyakan 7 Soalan Ini Kepada Diri Sendiri
Pembelian tiket penerbangan hari ini boleh dikatakan perbelanjaan yang agak besar (bergantung kepada lokasi) dan kebiasaannya kita mahukan yang terbaik untuk diri kita selain harga yang berpatutan, dan bersesuaian dengan poket kita juga.
Sebelum membeli atau tekan butang ‘confirm’ tersebut, tanyakan 11 soalan ini kepada diri sendiri :
#1. Kebolehpercayaan dan Fleksibiliti Tiket Murah
Pertama sekali; tiket murah daripada pihak ketiga biasanya akan mendatangkan masalah. Ada beberapa kes yang berlaku tahun ini dan akhirnya; disebabkan percaya kepada tiket murah atau agen, jadi rugi sebab penerbangan tidak wujud, penerbangan dibatalkan dan sebagainya.
Mencari tiket murah sebenarnya bukan perkara mudah, tapi kalau tahu tricknya; ia menjadi. Menurut pengalaman dan pembacaan, kalau melibatkan syarikat penerbangan Malaysia, lebih – lebih lagi beli tiket promo; agak sukar untuk menukar tarikh dan tidak fleksibel.
Bergantung kepada kes, ada sesetengah berjaya menukar tarikh tetapi perlu menambah duit, ada pula yang terpaksa lupakan terus percutian disebabkan syarikat penerbangan bertegas dengan polisi mereka.
#2. Perbandingan Harga Melalui Beberapa Laman Web
Jika mereka yang biasa travel, sekurang – kurangnya mereka ini akan membandingkan harga tiket di dua buah laman web sebelum membeli mana – mana penerbangan. Kadangkala, pembelian terus di laman web atau aplikasi syarikat penerbangan akan memberikan harga yang lebih murah berbanding laman web pihak ketiga.
Ada juga yang akan memberikan harga eksklusif kepada ahli dan sebagainya. Jadi, sentiasa bandingkan harga – walaupun harga tersebut promosi di laman A, berkemungkinan harganya di laman B lebih murah dan sebaliknya.
#3. Ada Bayaran Lain?
Seperti kebiasaan, mata kita akan tertarik kepada harga yang lebih murah tanpa membaca secara lanjut. Jadi, pastikan tiada bayaran ‘tersembunyi’ yang dikenakan.
Berbalik kepada soalan kedua tadi, bandingkan harga keseluruhan termasuk mungkin syarikat A ada kenakan bayaran tambahan untuk pilih tempat duduk, muatan beg, tambahan insurans, tambahan makanan dan lain – lain.
#4. Dah Cuba Tengok Tarikh Sebelum, Selepas atau Beli Penerbangan Asing?
Walaupun agak leceh, tapi sebelum membeli tiket; cuba semak harga penerbangan sehari sebelum atau sehari selepas tarikh yang kita pilih tersebut. Mana tahu dapat lebih murah.
Selain itu, cuba asingkan pembelian penerbangan pergi dan balik. Mungkin pergi naik penerbangan lain, balik boleh beli tiket penerbangan lain dan sebagainya. Adakalanya, pembelian asing ini lebih murah dari beli penerbangan pergi dan balik.
#5. Cuba Bandingkan Dengan Kelas Lain
Kebiasaannya, mata kita akan bertumpu kepada kelas ekonomi. Tapi, cuba sekali sekala bandingkan harga dengan kelas perniagaan atau premium. Ada kalanya, tiket kelas business atau premium jadi ‘lebih murah’ dari kelas ekonomi.
Belum cuba belum tahu kan?
#6. Betul Ke Lapangan Terbang ‘Masuk – Keluar’ Tu?
Kebiasaannya, sesetengah destinasi mempunyai lebih dari satu lapangan terbang. Jadi pastikan kita tahu airport mana yang kita hendak tuju untuk memudahkan perjalanan. Sekiranya tidak, berapa pula cas atau kos yang perlu ditambah?
Selain itu, dapatkan juga tempoh masa yang sebetulnya anda akan habiskan terutamanya jika ada transit sebelum tiba ke destinasi akhir.
#7. Mana Lebih Mudah, Terbang Terus atau Terbang Ke Bandar Berdekatan?
Harga murah satu – satu penerbangan merupakan faktor utama pengguna membeli tiket. Tapi sebelum membeli dan anda jenis suka ‘adventure’ cuba tengok dahulu harga penerbangan ke bandar berdekatan.
Sebagai contoh, anda mahu ke Bandung dan tiket terus adalah mahal. Jadi cuba tengok tiket ke Jakarta dan naik kereta api ke Bandung. Mungkin kosnya jauh lebih murah. Tetapi ingat, kena ambil kira faktor masa juga.