Berita Baik! Hotel Di Langkawi Tawar Diskaun Hingga 70 Peratus

February 17, 2020 - 01:27 PM


Tak dinafikan industri pelancongan negara kita antara yang terjejas teruk akibat penularan wabak Koronavirus atau sekarang dipanggil COVID-19.

Walaupun Malaysia dijamin sebagai sebuah negara yang masih selamat untuk kunjungan pelancong, namun banyak tempahan hotel terpaksa dibatalkan kerana sikap berjaga-jaga masyarakat dunia terhadap wabak berkenaan dan pulau peranginan terkenal Langkawi antara yang menerima tempiasnya.

Bagi menarik semula kunjungan pelancong ke pulau tersebut, pengusaha hotel di pulau bebas cukai itu telah bersetuju untuk menurunkan harga bilik antara 30 hingga 70 peratus!

Tawaran diskaun berkenaan diberikan oleh hotel tiga bintang ke atas dan harga bermula RM150 hingga RM200 sahaja untuk semalam, berbanding RM250 sebelum ini.

Orang ramai boleh memeriksa dalam talian di laman sesawang atau media sosial hotel terlibat di mana difahamkan seramai 45 pengusaha hotel di bawah naungan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah/Perlis terbabit dengan penawaran harga istimewa itu.

Pulau bebas cukai itu dijamin masih selamat untuk dikunjungi dan orang ramai disarankan mengambil peluang diskaun yang ditawarkan untuk datang bercuti ke pulau ini.

Malah, Langkawi yang baru saja selesai menganjurkan perlumbaan basikal antarabangsa iaitu Le Tour de Langkawi 2020 tanpa sebarang masalah atau kes jangkitan memberikan isyarat positif bahawa Langkawi adalah destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi.

Sumber: Bernama

 

 

Destination: