Kes COVID-19 Dijangka Meningkat Di Afrika Sehingga 10 juta Dalam Tempoh 6 Bulan - WHO

TRAVEL
April 18, 2020 - 07:08 PM


 

Kes wabak COVID-19 di Afrika bakal melonjak kepada lebih dari 10 juta pesakit dalam tempoh enam bulan. Ramalan itu disampaikan oleh pegawai serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Afrika berdasarkan pemodelan sementara.

Bagaimanapun, ketua operasi kecemasan WHO Afrika, Michael Yao, menyatakan bahawa angka itu kemungkinan berdasarkan situasi buruk. Melalui pengalaman semasa wabak Ebola, ramalan WHO didapati salah disebabkan beberapa faktor, antaranya adalah perubahan tingkah laku manusia, seperti soal kebersihan.

“Ini masih boleh diperbaiki. Sukar untuk membuat anggaran jangka panjang kerana konteksnya berubah setiap masa dan juga langkah-langkah kesihatan awam yang dilaksanakan sepenuhnya benar-benar dapat memberi kesan,” kata Yao seperti yang dikutip oleh Reuters.

Negara-negara di Afrika setakat ini mengesahkan lebih daripada 17,000 kes wabak COVID-19, sekitar 900 daripadanya sudah meninggal dunia.

Jumlah ini kurang dibandingkan dengan kawasan lain. Tetapi ada ketakutan bahawa angka itu mungkin meningkat. Situasi ini amat membimbangkan selepas mengambil kira kemudahan dan peralatan perubatan yang tidak sehebat beberapa negara maju yang lain.

“Kami bimbang wabak ini terus menyebar secara geografi, di antara negara-negara. Jumlahnya terus meningkat setiap hari,” kata Pengarah WHO Afrika, Matshidiso Moeti.

Afrika Selatan adalah negara dengan kes COVID-19 tertinggi di benua Afrika, walaupun  kes sudah mula berkurang sejak perintah penguncian dilaksanakan.