Dari Skirt Pendek, Kini Kabin Krew AirAsia Tampil Dengan 'Uniform' Baru Lebih Sopan!
TERKINISyarikat penerbangan tambang rendah AirAsia menguji penggunaan peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk anak-anak kapal anak syarikatnya di Filipina.
Menurut AirAsia, ia adalah pertama kali uniform sebegitu digunakan semasa penerbangan baru-baru ini dan satu penilaian lanjut ke atas rekaan tersebut juga sedang dijalankan.
Pada Isnin, Ketua Pegawai Keselamatan AirAsia, Ling Liong Tien berkata beberapa langkah yang diambil oleh syarikat penerbangan itu telah dimulakan untuk penerbangan penghantaran pulang dan misi kemanusiaan, termasuk penggunaan PPE oleh anak kapal.
Malah beliau tidak menolak kemungkinan, langkah tambahan sama juga akan turut dipraktikkan dalam beberapa penerbangan domestik yang bersedia untuk kembali beroperasi.
"Apabila anda berada dalam pesawat, anda akan berasa gembira mendapat tahu bahawa semua anak kapal kabin kami akan memakai peralatan perlindungan termasuk pelitup dan sarung tangan," menurutnya dalam laman web AirAsia.
Langkah-langkah lain yang akan diambil oleh AirAsia apabila penerbangannya disambung semula adalah termasuk memastikan semua penumpang memakai penutup hidung dan mulut mereka sendiri sebelum, semasa dan selepas penerbangan serta di kaunter daftar masuk dan tempat mengambil bagasi.
"Penumpang tanpa memakai atau membawa face mask tidak akan dibenarkan menaiki pesawat," kata Ling.
Gambar-gambar PPE AirAsia yang dilihat sopan dan sangat patuh syariah itu menjadi viral di media sosial selepas seorang pereka fesyen Filipina, Puey Quinones, memuat naik gambar tersebut ke akaun Instagramnya pada Jumaat lalu dengan kapsyen bahawa ia direka olehnya.
Gambar-gambar tersebut mendapat perhatian ramai apabila ia buat pertama kalinya menunjukkan para petugas AirAsia yang sebelum ini hanya berskirt pendek kini lengkap berpakaian seragam berwarna merah dan putih sebagai simbolik warna korporat AirAsia, termasuk pemakaian pelindung muka.
AirAsia dijadualkan meneruskan semula penerbangan domestik ke beberapa negara, bermula dengan Malaysia mulai 29 April, Thailand pada 1 Mei dan Filipina pada 16 Mei -- namun ia tertakluk kepada kelulusan oleh pihak berkuasa negara-negara berkenaan.