Muat Turun Borang Manual Rentas Negeri Di FB & Twitter PDRM

TERKINI
May 04, 2020 - 02:55 PM


Bagi orang awam yang berada di Semenanjung Malaysia dan ingin membuat permohonan pergerakan merentas negeri, namun tidak mempunyai kemudahan aplikasi Gerak Malaysia -- anda kini boleh mendapatkan borang rentas negeri menerusi laman Facebook dan Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anda hanya perlu mencetak dan mengisi borang berkenaan sebelum dibawa ke balai polis berdekatan bagi mendapatkan kelulusan.

Malah kelulusan juga akan diberikan pada hari sama selepas borang berkenaan diserahkan.

"Ia bagaimanapun hanya tertakluk kepada orang awam yang berada di Semenanjung Malaysia yang tidak mempunyai kemudahan aplikasi Gerak Malaysia untuk memohon membuat pergerakan.

"Permohonan manual ini boleh dibuat bermula hari ini namun orang ramai selepas itu perlu membuat janji temu dengan balai berdekatan bagi urusan penghantaran borang bagi mengelakkan kesesakan," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed. 

Sebelum ini, Kerajaan menyediakan kemudahan aplikasi mudah alih iaitu "Gerak Malaysia" yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguruskan pergerakan dan membenarkan pengguna memohon Perjalanan Antara Negeri.

Pergerakan Perjalanan Antara Negeri diberi masa 48 jam untuk pergi dan balik semula (perjalanan dua hala), melibatkan ahli keluarga yang terkandas.

Baru-baru ini, aplikasi ini telah dinaik taraf ke versi 2.0 dengan membolehkan orang ramai menetapkan perjalanan yang ingin dilakukan sebelum 6 Mei ini, manakala perjalanan tersebut hanya boleh dilakukan bermula 7 hingga 10 Mei mengikut hari dan negeri yang telah ditetapkan.

Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Apple App Store, Google Play Store ataupun Huawei AppGallery dan cari Gerak Malaysia.

Sumber: Bernama

Destination: