Mulai 1 Ogos, Perjalanan Antara Zon Di Sarawak Perlu Permit & Flight Pun Dikurangkan

TERKINI
July 30, 2020 - 12:33 PM


Berkuatkuasa 1 Ogos ini, Kerajaan Sarawak mewajibkan perjalanan di antara Zon Satu yang merangkumi Kuching, Samarahan serta Serian dan  Zon Dua (Sri Aman hingga ke Limbang) perlu mendapat permit polis.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata langkah itu susulan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) untuk melaksanakan sekatan perjalanan berikutan peningkatan jumlah kes baharu COVID-19 di negeri berkenaan sejak kebelakangan ini.

Permit tersebut terpakai untuk syarikat penerbangan, bot ekspres dan perkhidmatan bas antara bahagian yang beroperasi di antara dua zon terbabit.

Syarikat penerbangan, pengusaha bot dan bas perlu memastikan hanya yang ada permit polis dibenarkan menaiki pengangkutan yang berkenaan dan melakukan perjalanan di antara kedua-dua zon.

Peraturan terbaharu itu turut terpakai kepada mereka yang akan melakukan perjalanan pada atau selepas 1 Ogos sekalipun tiket dibeli lebih awal sebelum penguatkuasaan peraturan tersebut.

Kekerapan penerbangan keluar-masuk Sarawak serta penerbangan destinasi dalam negeri bagi tempoh 1 hingga 14 Ogos juga telah dikurangkan sebagai antara langkah untuk mengekang penularan pandemik.

Sebagai contoh, kekerapan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) antara :

- Kuala Lumpur dan Sibu dikurangkan dari 3 kali seminggu kepada sekali seminggu

- Kuala Lumpur-Bintulu dikurangkan daripada 3 kali kepada 2 kali seminggu

Sama juga yang berlaku kepada penerbangan mingguan oleh AirAsia yang melibatkan laluan :

- Kuala Lumpur dan Kuching akan dikurangkan daripada 56 kepada 14 penerbangan

- Kuching-Bintulu (daripada 21 kepada tujuh penerbangan)

- Kuching-Miri (daripada 21 kepada tujuh penerbangan)

- Kuching-Kota Kinabalu (daripada 14 kepada tujuh penerbangan)

- Kuching dan Johor daripada 14 kepada tujuh penerbangan.

- Sibu-Kuala Lumpur pula dikurangkan daripada 21 kepada empat penerbangan

- Sibu-Johor Bahru (daripada tujuh kepada empat penerbangan)

- Bintulu-Kuala Lumpur (daripada 14 kepada tujuh penerbangan)

- Miri-Kuala Lumpur (daripada 21 kepada tujuh penerbangan)

- Miri-Kota Kinabalu (daripada 10 kepada lima penerbangan)

- Miri-Johor Bahru daripada tiga kepada dua penerbangan

Sumber: Bernama

Destination: