Jumlah Pengunjung Ke Teluk Cempedak Bakal Dihadkan?
TERKINISeperti kita sedia maklum ketika ini di fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) -- semua orang sedang berpusu-pusu untuk pergi bercuti di seluruh negara memandangkan aktiviti pelancongan domestik telahpun dibenarkan Kerajaan.
Di media sosial pula kita dapati banyak tempat-tempat tarikan pelancongan menjadi sesak akibat kunjungan orang ramai yang ingin bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan mereka.
Tidak terkecuali pantai peranginan, Teluk Cempedak di Kuantan, Pahang.
Setiap hari terutama pada hujung minggu, pantai itu ternyata menjadi pilihan percutian orang ramai sehingga berlaku kesesakan di laluan masuk ekorang jumlah pengunjung yang terlalu ramai.
Bagi mengelakkan keadaan yang terlalu sesak hingga penjarakan fizikal di antara satu sama lain tidak dapat dipatuhi -- pihak polis bercadang untuk mengehadkan jumlah kemasukan pengunjung ke pantai tersebut terutama pada setiap hujung minggu.
Perkara itu dicadangkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali yang merasakan langkah itu perlu ekoran tinjauan polis pada hujung minggu lalu mendapati jumlah pengunjung yang terlalu ramai hingga menyebabkan mereka sukar melakukan penjarakan fizikal bagi mengelak jangkitan COVID-19.
"Pengunjung masih berterusan mahu masuk menyebabkan polis terpaksa mengarahkan mereka membuat pusingan-u. Kita telah terangkan situasi yang berlaku dan minta supaya mereka kembali semula pada hari lain kerana ini melibatkan aspek keselamatan.
Walaupun tinjauan di pantai mendapati pengunjung akur menggunakan pelitup muka seperti arahan kerajaan, namun jumlah yang terlalu ramai menyukarkan mereka mengamalkan penjarakan fizikal," katanya.
Cadangan tersebut akan dibincangkan bersama pihak berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan berharap masyarakat dapat memahami tindakan itu terpaksa diambil bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Sumber: Bernama