Syukur, Malaysia Sedia Benarkan Jemaah Tunai Umrah

TERKINI
August 06, 2020 - 11:08 AM


Selepas selesai ibadah Haji di Tanah Suci Makkah, kebiasaannya ibadah Umrah pula akan menyusul.

Ini mungkin berita gembira buat anda yang mempunyai niat dan merancang untuk melaksanakan Umrah kerana buat masa ini Kerajaan tidak mempunyai masalah untuk membenarkan jemaah Malaysia menunaikan Umrah ke Makkah dan Madinah.

Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai perkara itu masih lagi bergantung kepada situasi semasa penularan COVID-19 dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Malaysia menyambut baik segala keputusan yang bakal dilaksanakan Arab Saudi -- namun lebih mengutamakan kemaslahatan dan dari segi kesihatan.

Sebelum ini, laporan media Arab Saudi menyatakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sedang menilai pembukaan semula Makkah untuk ibadah Umrah.

“Jadi, kalau semuanya ok, saya rasa tidak ada masalah tapi buat masa ini dalam situasi kita masih berjaga-jaga, amat perlu kita mengambil langkah-langkah dalam mengawal penularan COVID-19,” kata Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kos dalam menunaikan ibadah umrah kerana mengambil kira penambahbaikan aspek keselamatan dan kesihatan kerana COVID-19.

Ia kerana kos tambahan dalam menunaikan umrah bagi rakyat Malaysia jika dibenarkan juga akan mengambil kira kos ujian saringan COVID-19 serta beberapa kos tambahan lain yang akan diperhalusi kemudian, katanya.

“Berdasarkan situasi semasa macam kita balik kampung balik raya ada peraturan seumpamanya, jadi tidak pelik kalau berlaku peningkatan kos.

“Namun saya lebih prihatin daripada sudut keselamatan kesihatan dan kepatuhan pada prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya untuk elak COVID-19,” katanya.

Sumber: Bernama

Destination: