Mengidam Masakan Nogori? Ini 5 Restoran Masak Lemak Jika Berkunjung Ke Negeri Sembilan!
FOODIENegeri Sembilan Darul Khusus merupakan sebuah negeri yang terletak dekat dengan Kuala Lumpur.
Negeri yang terkenal dengan adat perpatih ini pastinya menyajikan pelbagai pengalaman baru untuk diterokai jika anda berkunjung ke sana.
Kalau berkesempatan untuk singgah ke Negeri Sembilan, pastikan anda wajib mencuba menu istimewa mereka iaitu masak lemak cili api!
Kami senaraikan lima port terbaik untuk anda rasakan sendiri kelazatan masak lemak cili api asli yang sememangnya enak:
Zaini Salai House
Restoran yang terletak di Jalan Seremban – Kuala Pilah, Kampung Ulu Bendol, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan ini popular di kalangan pengunjung.
Sudah pastinya menu masak lemak cili api mereka menjadi juara dalam hati mereka yang singgah makan di sini.
Terdapat pelbagai menu disajikan disini, ayam salai, daging salai, itik salai, pelbagai jenis ikan dan macam-macam lagi yang dapat menambat selera anda!
Aunty Aini’s Garden Cafe
Terletak di Batu 16, Jalan Sepang Kampung Chelet, Nilai, restoran ini memang popular di kalangan pelancong dan penduduk tempatan.
Bukan sahaja rasa masak lemak cili apinya yang membangkitkan selera, persekitaran restoran ini juga seperti di dalam taman yang indah, sesuai untuk mereka yang gemarkan singgah ke destinasi yang ‘insta-worthy’.
Jangan tak tahu, dua tokoh kulinari antarabangsa, Gordon Ramsay dan Anthony Bourdain pun pernah singgah ke sini tau!
Restoran Selero Nogori
Restoran ini memang menyediakan masakan Negeri Sembilan yang enak dan asli sehinggakan ramai pelanggan yang ‘repeat order’ selepas mencuba kelazatan hidangan yang disediakan.
Jangan risau, tak sukar untuk mencari restoran ini kerana ia terletak dekat dengan bandar Seremban iaitu di Jalan Haruan 4/8, Oakland.
Selain masak lemak cili api yang mengiurkan, restoran ini juga menyediakan lebih 100 jenis juadah untuk dinikmati pengunjung!
Grobok Salai
Restoran ini menyediakan pelbagai jenis masak lemak cili api yang pedas dan menyelerakan!
Jika anda berkunjung ke sini, jangan lupa untuk mencuba menu salai yang menjadi keistimewaan mereka iaitu masak lemak ayam kampung salai, masak lemak puyuh salai, masak lemak keli salai dan banyak lagi.
Biarpun terletak di luar bandar Seremban, keenakan masakan di restoran ini tidak menjadi penghalang untuk pengunjung mengembara sehingga ke Kampung Kundur Hulu, Pedas bagi merasakan sendiri kelazatan menu yang mereka sajikan.
Hayyan Huda Opah’s Kitchen
Terletak di Kampung Bukit Temiang, Seremban, restoran ini menjadi pilihan pelancong dan mereka yang duduk di kawasan sekitar kerana sajian menu lauk pauk kampung yang disediakan enak-enak belaka.
Cakap saja nak masak lemak cili api apa, udang, ayam, daging, ikan sembilang, telur itik… Semuanya ada, semuanya lazat!
Restoran ini juga dihiasi dengan keindahan interior menarik ala industrial, sesuai untuk diabadikan dalam laman sosial masing-masing.
Tak hairanlah restoran ini menjadi pilihan ramai orang kerana ia dimiliki oleh pemenang Masterchef Malaysia, Dr. Ezani Monoto.