Nak Experience Pusing-Pusing KL Naik Bas? Guna 'Moovit' Kesan Bas Secara Real-Time!

GAYA HIDUP
August 28, 2020 - 12:55 PM


Kalau korang nak jalan-jalan dekat Kuala Lumpur atau sekitar Lembah Klang dengan menaiki pengangkutan awam, korang jangan lupa untuk muat turun aplikasi 'Moovit' daripada Google Play atau Apple App Store.

Ini kerana menerusi aplikasi Moovit, korang akan mengetahui maklumat sebenar lokasi bas Rapid KL, Go KL dan SMART Selangor serta dapat menyemak lokasi semasa bagi laluan bas di Lembah Klang termasuk bas perantara Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Go KL dan beberapa laluan perkhidmatan bas Smart Selangor terpilih.

Bukan itu sahaja malah, Moovit turut menyajikan pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkhidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan.

Dengan adanya kemudahan maklumat perjalanan ini melalui aplikasi telefon pintar, sebagai penumpang korang sempat melakukan aktiviti santai lain sementara menunggu ketibaan bas.

Kemudahan yang bakal memberi manfaat kepada ribuan pengguna perkhidmatan bas awam di Lembah Klang merupakan sebahagian inisiatif Rapid Bus untuk menjalinkan kolaborasi bersama pembangun aplikasi pihak ketiga yang terpilih. 

Sebelum ini pada 18 Jun lepas, pihak Rapid Bus telah melancarkan perkongsian data masa nyata atau ‘real-time’ bersama Google Maps.

Kedua-dua inisiatif ini menandakan satu titik baharu dalam perkongsian data kedudukan bas secara real-time bagi kemudahan para pelanggan Rapid Bus.

Bagi rancangan masa depan, Rapid Bus turut merancang untuk meluaskan rangkuman data lokasi kepada perkhidmatan bas perantara MRT, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang.

Sumber: Bernama

Destination: