Jom Bawa Anak-Anak Ke Zoo Seluruh Negara, Ada Diskaun Sampai 31 Mac Depan!
Bagi ibu bapa yang tidak tahu nak bawa anak-anak berjalan-jalan atau bersantai ke mana pada musim cuti dari 1 Januari hingga 31 Mac depan -- mungkin anda boleh bawa mereka ke taman haiwan atau Zoo di seluruh negara!
Ini kerana pihak Tourism Malaysia dengan kerjasama Zoo Negara, Zoo Melaka dan Zoo Taiping & Night Safari sedang menawarkan potongan harga istimewa untuk tiket masuk kepada para pengunjung di bawah 'Kempen Stimulus Cuti-Cuti Malaysia Santai'.
Sebanyak 40 peratus diskaun diberikan bagi harga tiket masuk dewasa dan kanak-kanak ke Zoo Negara.
Lebih 16,000 tiket ditawarkan bermula 1 Januari lalu dengan pembelian secara dalam talian melalui platform e-dagang Shopee.
Antara program lain yang ditawarkan oleh Zoo Negara termasuk Zoo Walk 2021, program sukarelawan zoo KeeperKu, pakej Cikgu Kancil untuk lawatan sekolah yang merangkumi 13 program pendidikan, program santai sambil bermalam di zoo iaitu Zoo Camp.
Program menguji minda dan mencari harta karun iaitu Zoo Hunt, Hari Bumi, Hari Kesedaran Orangutan, Karnival Hari Kanak-Kanak Sedunia, aktiviti memancing, pakej hari keluarga, pakej hari lahir dan sebagainya.
Selain itu, Zoo Melaka turut menawarkan diskaun 30 peratus bagi tiket masuk dewasa dan kanak-kanak kepada lebih 20,000 pengunjung pertama yang melawat Zoo Melaka bermula 1 Januari 2021 dengan pembelian secara dalam talian di laman web Zoo Melaka.
Tarikan baru di sini termasuk Dinosaur Encounter & Animal Interaction dan Flying Monkey (zipline pertama di zoo). Zoo Melaka juga turut menawarkan pelbagai program berbentuk pendidikan seperti Zoolunteer, Zoo Troopers dan Zoomanji.
Tawaran istimewa ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat.
Melalui kempen ini, jumlah keseluruhan tiket yang ditawarkan adalah lebih 70,000 tiket.
Sehubungan itu, Tourism Malaysia mengajak semua rakyat Malaysia untuk merebut peluang ini sekali gus menggalakkan rakyat Malaysia meluangkan masa bersama keluarga dengan menikmati keunikan khazanah hidupan liar serta meneroka keindahan zoo-zoo di Malaysia.
Sumber: Harian Metro