Anda Warga Malaysia Di Luar Negara Dengan Pasport 'Mati'? Ini Ada Berita Baik!

TERKINI
June 15, 2021 - 06:41 PM


Jika anda warganegara Malaysia yang kini sedang berada di luar negara dan pasport antarabangsa anda telah atau akan melebihi tarikh luput pada tahun ini 2021 -- anda tidak perlu risau!

Ini kerana Jabatan Imigresen Malaysia telah melanjutkan tempoh sah Pasport Antarabangsa Malaysia (MIP) bagi semua warganegara di luar negara selama dua tahun lagi, secara percuma.

Catatan di Facebook, Bahagian Imigresen di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura mengatakan langkah itu bertujuan memudahkan pembaharuan MIP di luar negara.

Bagi mereka yang berkenaan, anda boleh memilih untuk mendapatkan cap pelanjutan itu di 'Halaman Pemerhatian' atau di muka surat 48 pasport mereka di Suruhanjaya Tinggi atau Kedutaan terdekat.

Tiada bayaran dikenakan untuk pelanjutan tempoh sah berkenaan dan ianya telah pun dibuka untuk mereka yang terjejas itu.

Mereka yang berminat boleh menyerahkan permohonan pelanjutan dengan mengisi borang yang boleh didapati di Suruhanjaya Tinggi dan mengembalikannya di kotak penyerahan yang disediakan.

E-mel akan dihantar untuk tarikh temu janji.

"Pandemik Covid-19 telah menyebabkan banyak negara mengenakan pelbagai syarat dan sekatan perjalanan yang menyebabkan ramai warga Malaysia menangguhkan rancangan perjalanan mereka.

"Penangguhan yang berpanjangan ini menyebabkan ramai yang terpaksa tinggal lebih lama di luar negara dan ada di antaranya berasa perlu memperbaharui pasport mereka di luar negara kerana tarikh tamatnya telah hampir.

"Ini telah mengakibatkan peningkatan mendadak dalam bilangan pembaharuan MIP di pejabat luar negeri," kata Bahagian Imigresen.

Pada masa sama, bahagian itu berkata, mereka yang ingin memperbaharui MIP mengikut prosedur semasa boleh meneruskannya.

Bagaimanapun, pembaharuan MIP termasuk pembaharuan dalam talian akan mengambil masa lapan hingga 12 minggu berikutan peningkatan permohonan MIP dalam sistem.

Sumber: Bernama

Destination: