"Kalau Berjaya Jadi Champion, Kalau Gagal Jadi Homeless" Kisah Di Sebalik Kejayaan China Di Setiap Olimpik

TERKINI
August 06, 2021 - 01:34 PM


Baru-baru ni memang tular tentang kisah atlet berumur 14 tahun yang berjaya mendapat tempat pertama di acara terjun platform 10m wanita. Bukan sahaja berjaya dapat tempat pertama, Quan Hongchan turut berjaya melakukan 3 terjunan yang mendapat skor penuh 10/10 dari tujuh hakim. 

Quan merupakan atlet paling muda yang mewakili China untuk temasya Olimpik kali ini dan bak kata orang, kecil-kecil cili padi, Quan bukan sahaja berjaya mendapat pingat emas, malah turut berjaya mengalahkan pesaing sepasukannya yang lebih tua yang mendapat pingat perak. 

Ramai yang kini dah tahu, di sebalik aksi cemerlang Quan, terselit kisah yang menyentuh hati. Quan berkorban menjalani latihan yang berat bagi menyertai Olimpik semata-mata untuk menampung kos rawatan ibunya yang sakit. 

Quan adalah atlet China kedua termuda yang memperolehi pingat emas Olimpik dalam acara terjun dan yang mencatat sejarah sebelum ini ialah Fu Mingxia, memenangi pingat emas acara 10m platform di Olimpik Barcelona 1992 pada usia 13 tahun.

SUKAN ATAU PELAJARAN

Tapi korang tahu tak hakikat sebenar di sebalik kejayaan negara China di setiap Olimpik? Pada setiap Olimpik, China akan berada pada carta Top 3 pungutan pingat paling banyak, terutama sekali pada Olimpik Beijing 2008 di mana China berjaya mengumpul keseluruhan 100 pingat, dan 51 daripadanya adalah emas. 

China amat terkenal dengan program pembangunan sukan yang agresif untuk menyediakan atlet mereka ke sukan Olimpik. Ratusan ribu atlet muda menyediakan diri mereka untuk melayakkan diri ke temasya sukan tersebut namun hanya peratusan kecil sahaja yang layak. 

Paling menyedihkan, mereka dipilih untuk menyertai program tersebut seawal usia 4 tahun, dan diberikan latihan intensif yang berlangsung selama lebih 10 jam sehari, tanpa pendidikan yang sebenar, dan di brainwash bahawa kejayaan pada mata mereka hanyalah sebuah pingat emas Olimpik. 

Tanpa pendidikan yang formal, mereka berlatih menuju ke Olimpik, dan sekiranya mereka gagal, mereka akan dibuang, tanpa skil lain ataupun pendidikan yang membolehkan mereka layak untuk melakukan kerja-kerja lain. 

Contohnya kisah seorang atlet bernama Zhang Shangwu yang terpilih untuk menyertai program tersebut pada umur 12 tahun, dan kemudian berjaya menjadi atlet gimnastik China yang berjaya memenangi 2 pingat emas 2001 Beijing Summer Universiade. Kejayaan tersebut berjaya menempah namanya sebagai rising star di China.

Namun, malang tidak berbau dan Zhang luka di bahagian tendon Achilles dan terpaksa menarik diri daripada Olimpik 2004, dan kemudian terpaksa meninggalkan program tersebut pada 2005, tanpa sebarang pampasan. Tanpa sebarang pilihan, Zhang hanya mampu membuat persembahan gimnastik di jalanan sebagai punca pendapatan. 

Zhang menjadi gelandangan yang tidur di bawah jambatan, atau di kedai komputer, dan pingat emas yang diperolehi juga telah lama dijual pada harga 15 dolar(RM63).Beberapa tahun selepas itu, Zhang terpaksa mencuri dan kemudian ditangkap dan dipenjarakan lebih 4 tahun. 

Nanjing Daily pernah melaporkan pada 2010 bahawa 45% atlet China dibiarkan tanpa kerja selepas bersara daripada sukan. Selain itu, sejumlah yang besar juga mewakili negara tanpa diambil sebagai atlet secara langsung oleh badan negeri. 

Atlet-atlet ini tidak mempunyai sebarang faedah yang menanti mereka selepas persaraan dan pernah dilaporkan yang daripada 33,294 atlet China, hanya 17,444 menerima gaji bulanan yang rasmi, dan mereka yang menerima faedah hanya mendapat pampasan bulanan sebanyak 150 dolar (RM632). 

Pada pengakhirannya, atlet China yang gagal di dalam Olimpik, atau gagal sebelum mara ke temasya tersebut, ibarat gagal di dalam kehidupan. Tapi, adakah itu salah mereka?