Pukul Kanak-kanak Autisme, Pengurus Pusat Asuhan Diberkas

TERKINI
October 04, 2021 - 12:40 PM


Seorang bapa yang berkongsi kekecewaan beliau tentang anaknya yang dilayan secara kasar oleh seorang wanita tular di instagram.

Wanita warga asing tersebut telah diberkas pada petang Ahad dipercayai terlibat dalam kes melibatkan seorang kanak-kanak autisme dipukul di sebuah pusat asuhan di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berumur 50-an merupakan pengurus di pusat asuhan kanak-kanak tersebut.

"Kejadian disedari kira-kira jam 12.45 tengah hari Jumaat ketika seorang bapa hendak mengambil anaknya iaitu mangsa yang berumur enam tahun di pusat asuhan kanak-kanak berkenaan.

"Bapa mangsa mendapati kesan lebam pada bahagian bahu kiri dan kedua-dua bahagian mata anaknya," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, salah seorang guru di pusat jagaan berkenaan mendakwa kanak-kanak itu menghantukkan kepala pada meja kerana tidak mahu makan.

"Curiga dengan keadaan anaknya itu, bapa mangsa melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan mendapati suspek bertindak kasar apabila mangsa mengelak untuk makan.

"Bapa mangsa juga ada bertanya kepada kanak-kanak itu tetapi tiada jawapan," katanya.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang kemudian memberkas suspek yang merupakan pengurus pusat asuhan kanak-kanak berkenaan.

"Suspek ditahan di pekarangan Pejabat Siasatan Seksual IPD Ampang Jaya. Suspek merupakan majikan di pusat asuhan kanak-kanak tersebut dan menggajikan tiga pekerja tempatan.

"Tujuh pelajar di pusat asuhan tersebut termasuk mangsa berstatus orang kurang upaya (OKU) autisme," jelasnya.
Tambah beliau, siasatan mendapati pusat berkenaan telah beroperasi selama tujuh tahun.

"Bagaimanapun semakan mendapati lesen pusat asuhan ini sudah tamat tempoh pada dua bulan lalu," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1952.

Destination: