Selepas 2 Tahun Tak Diadakan, MATTA Fair Kembali Semula Pada 20 & 21 Nov Ini

November 03, 2021 - 12:16 PM


Selepas 2 tahun tidak dianjurkan angkara pandemik -- kini pameran pelancongan terbesar di Malaysia iaitu MATTA Fair (Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia) kembali menemui orang ramai pada 20 dan 21 November ini.

Untuk rekod, edisi terakhir MATTA Fair diadakan adalah pada September 2019.

MATTA Fair edisi ke- 49 kali ini akan diadakan dengan skala yang lebih kecil di Dewan 3 dan 4 Pusat Dagangan Dunia (PWTC) Kuala Lumpur.

Dewan 4 dikenali sebagai Dewan Malaysia yang menempatkan hampir semua organisasi pelancongan negeri serta produk pengembaraan pelancongan domestik, manakala kebanyakan pemain pelancongan antarabangsa berada di Dewan 3.

Pameran selama 2 hari itu dibuka dari pukul 10 pagi hingga 8 malam dan masuk adalah percuma.

Pameran tersebut mendapat sokongan padu daripada organisasi pelancongan negeri seperti  Sabah, Terengganu, Sarawak, Pahang, Selangor, Johor, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.

Bukan itu sahaja malah ia turut mendapat penyertaan memberangsangkan daripada pelbagai organisasi pelancongan antarabangsa antaranya Korea, Taiwan, Filipina, Jepun, Turki dan Uganda bagi mempromosikan pasaran mereka kepada pelancong Malaysia.

Setiausaha Agung Kehormat MATTA, Nigel Wong berkata pihaknya teruja dengan pembukaan sektor pelancongan domestik bagi membantu melonjakkan ekonomi dan pameran itu dalam usaha membantu merancakkan semula industri berkenaan.

Selepas 21 bulan sekatan pergerakan dan tiada aktiviti perniagaan dalam industri pengembaraan dan pelancongan -- MATTA Fair menjadi penunjuk penting kepada orang awam bahawa industri pelancongan sudah kembali dan secara perlahan-lahan akan dirancakkan dengan aktiviti pelancong domestik, selain antarabangsa tidak lama lagi susulan pembukaan semula sempadan, dengan protokol perjalanan yang selamat.

Bagi pameran kali ini, MATTA telah bekerjasama dengan Legoland sebagai Rakan Taman Tema dan syarikat aplikasi pengangkutan e-hailing, GOJO.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pasaran Legoland Malaysia Resort, Thila Munusamy berkata Legoland akan menawarkan pengunjung MATTA Fair diskaun eksklusif dan beberapa pakej percutian mesra keluarga terbaik.

Tahun ini, pengunjung yang membeli lebih daripada tiga Pas Triple Park di pameran tersebut layak menerima Set Kereta Api Legoland eksklusif secara percuma, manakala pelanggan yang membeli lebih daripada lima Pas Triple Park akan menerima tambahan Set Istana Legoland eksklusif!

Sumber: Bernama

Destination: