Ini Reaksi Balas Duyung Marina & Resort Selepas Viral Bilik Kotor Dan Tak Terurus

November 12, 2021 - 12:06 PM


Minggu lepas viral isu Duyung Marina & Resort yang dikatakan kotor dan tidak terurus, selain menyajikan perkhidmatan yang tidak memuaskan. Berikut merupakan luahan oleh salah seorang tetamu Resort berkenaan. 

Lain orang, lain pengalaman.

Mungkin nasib tak menyebelahi saya dapat bilik macam ni

Hotel Duyong Marina Resort Spa, Terengganu

Rm380/night include breakfast (2 pax)

(Bilik riverview)

Kami stay 5 hari 4 malam

Check in pukul 3, tapi kami sampai awal 2.30 ptg. Terpaksa tunggu sampai pkul 3. Staff kata xboleh masuk awal. Sooo.. Tunggu lah kami kat situ. Jam 3, still tak boleh juga check in. Bilik belum ready katanya. Jam 3.30 pun sama.. Hinggalah jam 4 ptg baru dibenarkan check in.

Nak ke bilik, buggy pulak bergerak cuma 1. Kena queue pulak ada beberapa family lagi tengah menunggu

Kami booking untuk king size bed, bila sampai dapat katil single 2 biji

So, terpaksa tido berhimpit dgn anak

Dah masuk bilik, nak mandi tengok tuala tak ada. Call mintak towel, setengah jam baru hantar

Toilet dia perghhh ...

Kotor.. Lumut hitam berdaki kat dinding. Rak sink pun buruk & lebur

Yang lagi kecewa, buka pili air nak mandi. Tak sampai beberapa saat air dah bertakung. Adoii.. Jamban nak berak pun kena flush banyak kali

Tak abis kat situ...

Cermin pintu bilik kat bahagian beranda pun dah pecah. Buatnya kau lupa tutup sliding door, silap2 hantu pun boleh lambai - lambai dari luar tu.. Beranda look scary, suram macam rumah lama, rumput panjang dah memanjat beranda.. Macam tak terjaga. Beranda kotor, taik cicak, tompokan2 sisa kotoran di lantai

Kerusi meja untuk lepak2 kat beranda tak ada. Bila call tanya, katanya tak boleh hantar sbb tak cukup

Sarang labah - labah pulak terlekat elok kat dinding ceiling.. Tergoyang2 kena kipas

Econ sekejap sejuk sekejap panas.. Kalau siang hari, aku siap berpeluh lagi. Tak rasa econ. Terasa bahang kat dalam bilik

Tangga nak ke bilik retak, tunggu masa nak terbelah dua. Bila pijak tangga bergoyang2.. Pagi tu siap ada taik kucing lagi kat tangga

Suasana malam memang lagi scary.. Kat laman cuma ada lampu seketul dua.. Sebelah ada blok yang dah tak guna, terbiar kosong. Waktu malam macam scene dlm cite hantu gelap gelita

Nak lampu banyak cuma di area garden view.

Malam ke2 .. Pukul 1.30 pagi

Pintu kena goncang kat beranda bunyi benda jatuh, melompat berulang kali

Dinding kena cakar. Lama pulak tu

Pintu toilet 3 kali terbuka sendiri. Aku tutup, pastu terbuka lagi. Last2 .. aku biar je. Japlagi dia ingat aku seronok layan dia

Pkul 4 pagi baru blh lena ..

Aku harap pihak resort ni buat lah sesuatu ngan bilik ni. Dah teruk sangat dah. Banyak kena repair yang rosak tu. Bilik lain aku tak tahu lah, ni nasib aku dapat bilik teruk mcm ni.. Staff kat sana pun kurang friendly, bnyak kena perbaiki.

5h 4mlm yg tak happy

Kredit: Rania Adira

Bagaimanapun pihak Duyung Marina & Resort telah memberi kenyataan tentang isu ini. Hotel milik kerajaan negeri, Duyung Marina & Resort (DMR) mengesahkan tidak menerima sebarang aduan daripada pelanggannya berhubung keadaan bilik yang kotor dan rosak sebagaimana yang tular di media sosial. 

Pengurus Besarnya, Wan Mohd. Faizul Wan Abas berkata, siasatan masih lagi dijalankan hingga kini bagi meneliti setiap dakwaan itu termasuk turut mengarahkan kakitangannya menghubungi semula pelanggan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada individu beralamat dari Kedah itu menemui jalan buntu kerana maklumat nombor telefon yang ditinggalkan tidak tepat.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati pelanggan itu menginap selama lima hari dari 14 hingga 18 Oktober lalu di bilik jenis deluxe eksekutif berharga RM380 untuk satu malam.

Tujuan kita menghubungi adalah untuk mendapatkan gambaran sebenar kerana sepanjang lima hari penginapan, tiada sebarang aduan dibuat pelanggan mahu pun keluarganya.

Kita tidak nafikan fasiliti di DMR sudah lama, namun kita tidak sesekali menjual bilik yang dikategorikan rosak kepada pelanggan kerana menjadi prosedur operasi standard (SOP) kita untuk memeriksa bilik terlebih dahulu.

Beliau diminta mengulas perkongsian pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Rania Adira di laman Hotel Review Malaysia mengenai pengalaman buruknya menginap di resort empat bintang itu.

Antara yang dibangkitkan individu itu termasuk keadaan tandas yang berlumut dan air yang bertakung di samping beberapa kerosakan di kawasan beranda.

Wan Mohd. Faizul berkata, kelewatan individu itu mendaftar masuk pada pukul 3.40 petang adalah disebabkan kadar penginapan yang tinggi pada hujung minggu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya bersedia memohon maaf di samping mengembalikan semula bayaran jika terbukti dakwaan tular itu benar selepas proses siasatan dibuat.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, daripada keseluruhan 97 bilik di DMR, sebanyak 10 dikategorikan sebagai rosak.

 

Destination: