Sri Damai Resort, Kalumpang - Port Staycation 'Sedamai' Namanya!
Kesibukan tugas menyebabkan ramai yang mengambil peluang untuk berehat seketika bagi meredakan tekanan.
Kebiasaannya bagi warga kota yang tinggal di sekitar Lembah Klang, hujung minggu antara waktu paling sesuai untuk bercuti dan beriadah.
Kebanyakkan daripada mereka ingin lari seketika daripada kesibukan dan hiruk-pikuk kota ke tempat yang tenang dan mendamaikan.
Bagaimanapun, untuk ke lokasi percutian memenuhi ciri-ciri seumpama itu amat sukar ditemui selain terletak agak jauh.
Tetapi ada satu lokasi eko pelancongan di Sri Damai Resort, Kalumpang, Selangor yang menjadi tumpuan warga kota sejak beberapa tahun lalu.
Terletak hanya kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur, lokasi ini cukup mudah ditemui menggunakan aplikasi Waze.
Dari Tol Tanjung Malim, Perak, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk tiba di Sri Damai Resort melalui jalan bertar.
Istimewanya Sri Damai Resort ini benar-benar terletak bersebelahan sebatang sungai yang bersih dan sejuk airnya sehingga pengunjung boleh mendengar dengan jelas bunyi air mengalir diselangi 'nyanyian' unggas hutan.
Selain bermalam di tengah-tengah alam semulajadi yang cukup mendamaikan -- terdapat juga pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini antaranya menunggang ATV, berkelah, mandi sungai, mandi kolam, mendaki, berbasikal dan berkuda.
Apatah lagi lokasi ini mempunyai pakej lengkap untuk mereka yang dahagakan ketenangan dengan keindahan alam semula jadi dan suasana kampung.
Dengan keluasan 3.2 hektar, Sri Damai Resort ini turut memiliki 32 penginapan berbentuk chalet, inap desa dan dorm.
Kemudahan lengkap lain turut disediakan seperti bekalan elektrik, air, surau, kafe, dewan, kolam renang, kolam memancing dan sebagainya.
Tarikan lain pastinya, pelbagai haiwan yang dipelihara di sini termasuk rusa, burung unta, kuda dan kambing yang boleh dilihat dengan lebih dekat oleh pengunjung.
Jadi bagi anda yang masih tercari-cari lokasi eko pelancongan yang dekat dengan ibu kota untuk weekend getaway, anda boleh cuba bercuti ke Sri Damai Resort ini.
Sumber: Harian Metro & Kredit Gambar: FB Sri Damai Resort