Wajib Lengkap 2 Dos Dan Booster Untuk Solat Jumaat Di Selangor
TERKINIBUAT warga Selangor, bermula 25 Februari ini, hanya jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak, dibenarkan hadir menunai solat Jumaat di masjid seluruh Selangor.
Itu berikutan ketetapan terkini yang diedarkan secara dalaman oleh Jabatan Agama Islam Selangor kepada pengurusan masjid, surau dan musolla negeri itu.
Langkah itu sejajar arahan mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard di masjid, surau dan musolla di Selangor dalam usaha mengawal penularan pandemik COVID-19.
Ketetapan surat edaran bertarikh 21 Februari itu menyatakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, berkenan mengekalkan ketetapan solat Jumaat, solat lima waktu dan program pengimarahan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Ia menjelaskan mengenai Ketetapan Baru Pelaksanaan Solat Fardu Jumaat Dengan Kapasiti Penuh Serta Penjarakan Fizikal 1.0 Meter Antara Jemaah Di Semua Masjid, Surau Kebenaran Solat Jumaat Di Selangor.
Bagaimanapun, susulan perkembangan terkini penularan COVID-19 dan kebimbangan baginda akan berlaku situasi lebih buruk dan menjejaskan aktiviti di masjid, surau dan musolla semasa dan selepas mendapat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, baginda berkenan agar pentadbir masjid, surau dan musolla di seluruh Selangor mempertingkatkan penguatkuasaan.