Hebat, Putrajaya Dah Ada Pantai Sendiri Tau! Dibuka Hujung Mac Ni...

March 03, 2022 - 11:22 AM


Wow, korang ingat ingat Putrajaya sekadar pusat pentadbiran negara kita je ke?

Korang jangan tak tahu sekarang Putrajaya pun dah ada pantai sendiri tau! Hebat, kan?!

Bermula hujung bulan Mac ini -- pantai buatan berpasir di Anjung Floria, Presint 4 bakal menjadi destinasi riadah terbaharu di Putrajaya.

Berkeluasan 600 meter persegi dan 100 meter panjang -- pantai itu merangkumi kawasan air, kawasan berpasir dan tempat duduk bertingkat yang mampu memuatkan kira-kira 150 orang pada satu-satu masa.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata pantai tersebut agak istimewa kerana sumber air yang digunakan adalah semula jadi dari tasik berhampiran.

“Ini kali pertama kita guna air dari tasik itu sendiri. Kalau di Presint 5, ia merupakan kolam buatan dan penyelenggaraannya agak tinggi,” katanya.

Beliau berkata idea pantai berpasir itu timbul susulan kualiti air tasik Putrajaya yang bersih dengan status kualiti pada kelas I dan IIA selain terdapat aliran sebanyak sejuta liter sehari.

Bagaimanapun, menurut beliau sedikit bayaran akan dikenakan kepada orang ramai untuk memasuki pantai berkenaan dan jika mendapat sambutan menggalakkan, konsep sama akan digunakan di tepi tasik lain sekitar Putrajaya.

Beliau berkata produk pelancongan akan diperbanyakkan di Putrajaya bagi membuka peluang perniagaan kepada warganya. 

Sumber: Bernama

Destination: