Mirnaz Roomstay Perlis - Penginapan Bilik Segi Tiga Di Tengah Sawah Padi

March 04, 2022 - 05:43 PM


Jika korang bercuti ke Perlis dan tidak tahu untuk menginap di mana yang best atau menarik -- korang boleh cuba ke Mirnaz Roomstay!

Ini kerana bilik penginapan di Mirnaz yang berkonsepkan moden, terletak di tengah sawah padi di Kampung Masjid, Kaki Bukit -- sekaligus memberikan pengalaman percutian umpama suasana kampung yang unik, nyaman dan selesa buat pengunjungnya.

Selain mempunyai pemandangan bilik yang cukup menenangkan dengan hamparan sawah yang menghijau, bilik penginapan di sini juga memiliki reka bentuk unik segi tiga berwarna-warni.

Menurut pengusahanya, Khairul Nazmi Khairuddin -- Mirnaz Roomstay pada awalnya menawarkan 2 unit rumah berkonsepkan tradisional dan 4 rumah kotej bentuk segi tiga, baharu sahaja ditambah dan siap dibina enam bulan lepas.

Katanya beliau mendapat ilham untuk pembinaan rumah kotej baharu daripada rumah penginapan yang dilihatnya di Melaka dan kos binaannya dianggarkan RM300,000.

“Saya lihat di Perlis tiada lagi rumah atau bilik penginapan yang dibina seperti ini dan sama sekali tidak menyangka ia akan menerima sambutan yang baik daripada pengunjung luar Perlis,” katanya.

Katanya bilik penginapan itu baru setahun lebih beroperasi dan masih ditambah baik dari segi landskapnya dari semasa ke semasa.

Apabila malam, kawasan bilik penginapan ini akan kelihatan seperti di i-City Theme Park, Shah Alam kerana ada lampu yang dipasang di sekitar kawasan bilik penginapan ini.

“Perlis memang mempunyai banyak rumah dan bilik penginapan berdekatan sawah, tetapi bilik penginapan saya berada di tengah sawah… itulah kelainannya,” katanya dan menambah kebanyakkan pengunjung yang menginap di sini adalah orang luar daripada Perlis.

“Mereka suka suasana kampung ada juga yang tak pernah tengok sawah padi dan mesin rumput, jadi mereka gembira menginap di sini, ada suasana yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini.

Beliau berkata satu kawasan boleh memuatkan 25 orang sahaja mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan setiap kotej hanya boleh memuatkan daripada dua sehingga tiga orang sahaja termasuk kanak kanak.

“Alhamdulillah boleh dikatakan setiap hari ada pengunjung di sini,” katanya.

Sumber: Bernama & Kredit Gambar: FB Mirnaz Roomstay

Destination: