Nafas Cube - Penginapan Unik Baharu Di Selangor Berkonsep Kontena

June 10, 2022 - 12:36 PM


Kadangkala hanya memperuntukkan satu atau dua hari bercuti, sudah cukup untuk kita melepaskan tekanan dan melapangkan dada.

Masa senggang sangat penting untuk seseorang kembali produktif setelah menghabiskan masa yang begitu banyak dalam melangsaikan tugasan di pejabat.

Kepada anda yang ingin mencari kelainan, tetapi pada masa sama ingin melakukan aktiviti berkuda dan menjamu mata dengan pemandangan semula jadi -- NAFAS CUBE yang terletak di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Seri Kembangan, Selangor adalah pilihan terbaik.

Sebaik menjejakkan kaki ke sana, anda pasti terkesima melihat perkampungan kontena dan pembetung yang didirikan di hadapan sebuah tasik dengan suasana tenang serta santai, sangat sesuai untuk anda merehatkan minda.

Dari segi luaran mungkin kelihatan seperti biasa-biasa saja -- namun sebaik pintu kamar dibuka, siapa pun pasti terpukau melihat design dan dekorasi dalamannya yang saling tak tumpah bak sebuah kondo mewah. 

Di dalam kabin pengunjung disediakan tilam empuk dan berkualiti serta penyaman udara. ianya juga dilengkapi tandas yang bersih, selesa serta dilengkapi air panas dan sejuk.

Bukan sekadar bilik penginapan yang selesa -- malah Nafas Cube turut menawarkan banyak aktiviti dan tempat menarik lain untuk dilawati :-

1) CAFE NENAS MONTEL - Santai petang sambil menikmati jus nenas MD2 asli serta ais krim nenas yang padu sambil menikmati karipap nenas yang rare.

2) G2G MINI PETTING ZOO - Luangkan masa bersama keluarga untuk melihat pelbagai jenis haiwan yang jinak dan menarik. Boleh bergambar bersama haiwan-haiwan yang pastinya memberikan memori terindah untuk anda sekeluarga.

3) HOUSE OF KAMBING - Nikmati jamuan yang eksklusif di House Of Kambing dengan hidangan utama yang semestinya berasaskan daging kambing segar serta pilihan makanan lain seperti ayam, ikan dan lain-lain. 

4) LAMAN SAYUR / HERBA - Jom lawati dan kenali pelbagai jenis tanaman herba secara lebih dekat serta rasai keunikan madu kelulut yang pastinya menjanjikan pengalaman baru buat anda. Lebih 150 spesies serangga, variasi tanaman, ramuan dapur, bunga-bungaan dan ulaman yang mempunyai nilai perubatan tinggi ada di sini.

Selain berkuda, pengunjung boleh membawa anak kecil berbasikal di sekeliling kawasan sejauh 20 kilometer. Jika mahu merasai suasana bendang sawah dan ladang nanas, pengunjung juga boleh berbuat demikian.

Selepas penat ‘mengembara‘ -- anda dan keluarga juga boleh singgah mengisi perut dengan menjamu selera di beberapa kafe yang terdapat di sekitar kawasan itu, antaranya G2G Teknocafe, Apollo Nasi Kandar, Restoran Ikan Sungai, Cafe Mardi dan Maeps Bistro.

Lokasi pelancongan unik yang diuruskan sepenuhnya oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan yang berkonsepkan agro pelancongan dengan menggabungkan 3 elemen utama dalam pembinaannya iaitu kontena, pembetung dan khemah memang sesuatu yang wajib dicuba.

NAFAS CUBE 

  • Alamat: MAEPS Seri Kembangan, Selangor
  • Pakej: Bermula harga RM80 hingga RM250
  • Facebook: Nafas Cube
  • Instagram: @nafascube
  • Whatsapp 011-6399 9562

 

 

Destination: