Jiwa Kelajuan Membawa Padah, 4 Orang Hilang Nyawa Akibat Lumba Haram

GAYA HIDUP
July 18, 2022 - 03:48 PM


Seorang lagi disahkan meninggal dunia menjadikan keseluruhan empat penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan beberapa buah kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, dekat sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, tiga lagi mangsa parah dan sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata, mangsa yang maut berusia antara 17 hingga 25 tahun manakala mangsa yang mengalami kecederaaan berusia antara 19 hingga 34 tahun.

“Setakat ini tujuh mangsa telah dikenal pasti terlibat dalam kemalangan berkenaan. Empat orang disahkan maut iaitu tiga mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang

"Selain itu, tiga mangsa masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang yang mana seorang mangsa masih berada di zon merah dan dua lagi mangsa di zon kuning,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua mangsa yang terlibat dalam nahas itu berasal dari Pulau Pinang dan Kedah.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, siasatan mendapati beberapa buah motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram pada jam 4 pagi di laluan menghala ke pusat bandar.

"Kemalangan dipercayai berlaku selepas beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

Soffian berkata, sebelum kejadian, pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut telah telah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram tersebut.

Katanya, perancangan bagi menangkap individu yang terbabit dalam lumba haram itu juga sudah diatur sebelum berlaku kejadian.

Destination: