Pakat Gi Candat Boh! Ini Tips Candat Sotong Di Pulau Kapas, Terengganu.
TRAVELKalau sebut tentang aktiviti mencandat sotong, pastinya lokasi pertama yang terlintas di fikiran kita adalah Terengganu atau lebih tepat di sekitar Marang dan perairan Pulau Kapas. Betul, tak?
Selain memiliki gugusan pulau-pulau indah, perairan Terengganu juga sebenarnya kaya dengan hasil laut terutama sotong-sotong yang bergred A!
Sebab itu, kalau nak merasa hidangan sotong terbaik dan segar, ramai yang datang ke Terengganu untuk menikmati kelazatan menu ikonik mereka iaitu Ketupat Sotong dan Sotong Singgang. Memang sedap beb!
Tidak hairanlah setiap tahun, Terengganu menjadi tumpuan bagi pelancong atau pemancing dari dalam dan luar negara untuk merasai sendiri pengalaman mencandat sotong dengan menaiki bot nelayan yang diperbuat daripada kayu ataupun fiber.
Malah, dek kerana popular sebagai lubuk sotong -- aktiviti mencandat di Terengganu ini juga pernah diiktiraf sebagai 'Program Pelancongan Terbaik' pada tahun 2019 daripada Majlis Pelancongan Malaysia. Hebat, kan!
Kalau korang nak tahu sebenarnya musim paling meriah mencandat sotong di Terengganu adalah antara bulan April hingga September.
Sepanjang tempoh tersebut ramai pengusaha bot di sekitar Marang dan Pulau Kapas menawarkan pakej mencandat 'experience tourism' dengan harga serendah RM800 semalaman bagi sebuah bot dengan kapasiti 10 penumpang.
Baru-baru ini, Rileklah.com juga berpeluang menyertai aktiviti mencandat sotong yang dianjurkan oleh dengan kerjasama Gaya Travel Magazine bersempena Fiesta Candat Sotong Beautiful Terengganu 2022.
TIPS MENCANDAT SOTONG DI PULAU KAPAS, TERENGGANU
1) Bulan Terbaik Candat Sotong
Memandangkan sekarang adalah bulan Julai, korang masih mempunyai masa jika berminat untuk ke Terengganu bagi mencandat sotong.
Namun, menurut para nelayan di sana 3 bulan pertama iaitu April, Mei dan Jun merupakan waktu terbaik mendapatkan sotong yang banyak kerana keadaan air laut yang lebih tenang, bulan penuh dan terang serta musim sotong yang baru bermula.
Tetapi bulan Jun, Julai, Ogos dan September -- sotong sebenarnya masih lagi ada di perairan Pulau Kapas namun cabaran mencandat juga menjadi semakin tinggi dengan keadaan ombak bergelora dan cuaca yang tidak menentu.
2) Makan Pil Tahan Mabuk
Disebabkan trip kami ini dilakukan pada bulan Julai dan kebetulan pula pada tarikh berlakunya ombak tinggi di perairan Pulau Kapas, maka ramai ahli kumpulan kami yang telah bersiap-sedia dengan mengambil ubat tahan mabuk sejam sebelum menaiki bot.
Lagi satu tips untuk mengurangkan korang rasa mabuk atau muntah di atas bot adalah dengan fokus melihat objek paling jauh ketika korang dah start rasa pening-pening lalat.
Selepas selesai menelan pil mabuk laut dan menandatangani borang keselamatan masing-masing -- kami seramai 12 orang dibawa pula ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang untuk menaiki sebuah bot laju sebelum dipecahkan menjadi 2 kumpulan, masing-masing menaiki bot nelayan kayu dan bot fiber untuk ke tengah laut.
3) Masa & Teknik Terbaik Untuk Mencandat
Perairan di Terengganu merupakan lubuk sotong jenis 'torak atau jarum' yang sangat aktif pada waktu malam, jadi masa terbaik untuk mencandat di sini antara pukul 7 hingga 12.30 malam!
Teknik yang digunakan untuk mencandat pula adalah menggunakan 'jig' atau dipanggil sebagai 'squid jigging' -- di mana ia diperbuat daripada timah sebagai pemberat dan mempunyai banyak mata kail yang berfungsi sebagai penyangkut sotong.
Badan candat pula dibaluti dengan kain berwarna cerah dan menyala bagi menarik perhatian sotong naik ke dasar laut.
Sebaik candat diturunkan, korang hanya perlu melakukan aksi menarik dan menghulur ke dalam air yang disuluh lampu kalimantang atau lampu hijau, secara berulang-kali.
Sotong akan tertarik dengan pergerakan candat berwarna terang yang disangka makanan dan menyambarnya.
Kalau dah rasa seakan ada sotong yang terlekat pada mata kail korang, terus sentap tali dengan laju.
P/S: Selepas sejam berada di tengah laut dengan dua kali aksi muntah, akhirnya bot kami dapat menaikkan seekor sotong gred A dan seekor anak sotong comel yang kembali dilepaskan ke laut! Hehehe....
Kredit Gambar: Gaya Travel Magazine