Dulu Guna Paip PVC, Sekarang Pakai Buluh Je Gantung Bendera! Pembekal Buluh 'Tumpang' Rezeki Musim Malaysia Memilih

TERKINI
November 16, 2022 - 03:32 PM


Penjualan batang buluh selalunya hanya dijadikan pendapatan sampingan kerana ia bermusim terutama pada hari raya, kenduri dan beberapa acara lain -- namun dengan tibanya musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ia sedikit sebanyak membantu menambah pendapatan penduduk kampung di sekitar Perlis.

Penjual buluh, Ghazali Hassan, 60, yang membekal dan memborong pelbagai batang buluh di kawasan Padang Besar sejak lima tahun lalu berkata sejak bahang PRU semakin terasa, beliau banyak menerima tempahan bukan sahaja dari penduduk setempat malah di sekitar lokasi berkenaan.

Ghazali berkata pokok buluh jenis Buluh Madu dan Buluh Rusa sering digunakan sewaktu PRU ini kerana bentuknya yang menegak dan tidak membengkok sesuai dipasang bendera dan kain rentang calon.

Menjelas lanjut beliau berkata batang buluh dipilih berdasarkan ketebalan, ketahanan malahan harga juga berbeza mengikut jenis kerana harga yang dijual adalah antara RM2.00 hingga RM5.00 untuk sebatang pokok buluh.

"Sempena PRU15 memang banyak permintaan diterima di sekitar Padang Besar malah di beberapa lokasi lain di Perlis ini. Banyak parti politik yang menempah tidak kira apa parti sekalipun.

"Ratusan batang buluh berjaya dijual hinggakan bekalan milik saya habis dan terpaksa minta bantuan daripada rakan-rakan lain yang memiliki pokok buluh untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

"Bermula hari berkempen kira-kira RM5,000 kutipan berjaya dikumpul dan dibahagi kepada beberapa penduduk kampung yang menolong saya membekalkan batang buluh ini. Mereka pula akan memperoleh pendapatan tambahan mengikut jumlah bekalan yang diberikan.

"Panjang batang buluh pula berbeza mengikut saiz bendera yang akan dipasang kerana ada pembeli yang menempah 4.6 meter, 3.4 meter dan beberapa saiz lain" katanya menambah buluh sering digunakan sewaktu berkempen dalam pilihan raya kerana ia mudah dilupus dan musnah secara semula jadi berbanding paip PVC yang tidak mesra alam sekitar.

Buluh kini sering diguna pada pilihan raya sebagai tiang bendera bagi mengibarkan bendera bendera gabungan parti politik yang bertanding seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PN) dan beberapa parti lain.

Beliau yang juga seorang pesawah ternyata bersyukur kerana bukan hanya dia yang menerima tempias rezeki PRU, malah rakan-rakannya turut berkongsi rezeki sampingan.

Sumber & Kredit Gambar: BERNAMA

Destination: