Kelantan Popular Dengan 'Roti Canai Ular'. Apa Hukumnya? Ini Jawab Mufti
GAYA HIDUPBaru-baru ini tular semula berkenaan roti canai berbentuk ular dihasilkan oleh seorang pengusaha roti canai, Che Harun Ali, dari Kampung Kubur Kuda, Kota Bharu, Kelantan.
Selain ada ramai yang masih 'seriau' untuk menjamah roti canai berbentuk ular itu, ada juga yang tertanya-tanya tentang hukum menikmati juadah yang berupa haiwan yang diharamkan hukumnya dimakan dalam Islam.
Menjawab persoalan itu -- Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata hukum membeli dan memakan makanan berbentuk haiwan berbisa seperti roti canai ular yang tular ini adalah TIDAK HARAM, selagi bahan yang digunakan untuk membuat makanan itu adalah daripada sumber yang halal.
Jelas beliau, ini kerana tujuan pembelian makanan tersebut adalah semata-mata untuk dimakan dan bukan untuk diagungkan.
“Kita semua sedia maklum, bahawa kandungan roti canai itu hanyalah tepung gandum sahaja dan ia datang daripada sumber yang halal. Jadi tidak timbul sekalipun isu haram jika memakan roti canai berbentuk ular.
“Bagaimanapun, hukum memakan ular tetap haram kerana ia mengandungi bisa yang akan memudaratkan manusia namun roti canai ular ini cuma menyerupai bentuk sahaja, bukan kandungannya yang memudaratkan manusia,” katanya.
Bagaimanapun beliau turut mengingatkan umat Islam agar tiada unsur mempersendakan agama ketika memakan roti canai ular berkenaan.
“Seperti contoh, jika kita minum air kosong namun kita menyamakan air itu dengan arak adalah tidak dibenarkan, sama juga jika memakan roti canai ular ini namun dibanggakan seperti memakan ular yang betul adalah tidak dibenarkan kerana seolah-olah mempermainkan hukum Islam.
“Masyarakat juga diingatkan tidak menggembar-gemburkan dan cepat menghukum sesuatu perkara yang tidak pasti. Seboleh-bolehnya pandanglah sesuatu perkara daripada sudut yang lebih positif,” katanya.
ARTIKEL TERDAHULU: Uniknya Roti Canai Bentuk Ular! Korang Nak Try Rasa, Jom Ke Kota Bharu