"Siap Ada Sekolah Lagi" - Penempatan Haram PATI Diserbu, Bayi 2 Bulan Antara Ditahan Di Nilai
TERKINISudahlah datang ke negara ini tanpa sebarang dokumen pengenalan diri atau pekerjaan yang sah -- berani pula menjadikan penempatan haram mereka sebagai 'sekolah' tidak berdaftar yang sangat bahaya kepada keselamatan kanak-kanak!
Itu hasil serbuan yang dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan ke atas sebuah penempatan haram terletak sejauh 1.2 kilometer dari jalan utama yang dibina pendatang asing tanpa izin (PATI) di Nilai Spring, Nilai.
Perkampungan warga asing itu dibina di kawasan permukaan yang tidak rata dan berpaya -- selain dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar.
Malah ketika serbuan kesemua anggota dan pegawai Imigresen terpaksa sangat berhati-hati kerana keadaan di penempatan PATI haram itu boleh mendatangkan risiko kecederaan tinggi kepada mereka yang melaksanakan operasi itu.
Pasukan operasi juga terpaksa berjalan kaki melalui kawasan hutan sejauh 1.2 kilometer sebelum sampai ke lokasi.
"Hasil risikan dijalankan selama sebulan, penempatan ini menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut sukatan pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit set generator sebagai punca kuasa elektrik," kata Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Kennith Tan Ai Kiang.
Dalam operasi yang bermula 1.30 pagi itu seramai 67 PATI ditahan.
Mereka berusia antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 orang lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan.
Kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan terbabit bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Ketika serbuan dilakukan, terdapat cubaan daripada beberapa orang PATI meloloskan diri daripada ditahan pegawai Imigresen malah ada yang cuba bertindak agresif bagi mengelak daripada ditangkap.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Malah, beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang di kediaman mereka turut ditemui di dalam kediaman mereka.
Kesemua tahanan terbabit ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Operasi itu dilaksanakan berdasar aduan dan maklumat orang awam yang bimbang akan keselamatan penduduk setempat.
Jabatan Imigresen Negeri Sembilan juga sedang mengenal pasti sama ada penempatan ini didirikan di atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan negeri yang diteroka secara haram.
Sumber: Harian Metro